Mekanisme Subsidi Petrol Bersasar Belum Muktamad

KUALA LUMPUR – Berbeza dengan jangkaan Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan mekanisme pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar masih belum dapat dimuktamadkan.

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata, pihaknya bersama Kementerian Kewangan masih dalam proses pertimbangan dan penelitian segala cadangan mekanisme yang telah diterima.

“Kementerian Kewangan telah membuka tender bagi mana-mana pihak yang ingin mencadangkan mekanisme terbaik untuk melaksanakan program subsidi bersasar.

“Setakat ini belum ada satu mekanisme yang muktamad telah dibuat,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang mahukan penjelasan berkenaan keberkesanan mekanisme yang dicadangkan itu kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.

November tahun lalu, Saifuddin Nasution menyatakan beliau optimis pelaksanaan sistem kad khas dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar akan dimuktamadkan pada penghujung Februari.

Beliau berkata demikian supaya kementeriannya dapat menggunakan tempoh sebulan pada bulan ini untuk menjalankan percubaan (dry run) sebelum ia dilaksanakan secara sepenuhnya pada April.

Pertengahan Februari lalu juga, Saifuddin Nasution memberitahu kementeriannya sudah berada dalam fasa terakhir melaksanakan subsidi petrol secara bersasar. – UTUSAN ONLINE

Loading...