Mehat: Bergadai Nyawa Selamatkan Pemerhati PBB

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

“KALAU diminta bertugas sekali lagi sebagai pegawai pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), saya akan pergi walau di ceruk dunia mana sekalipun.

“Tetapi bukan Liberia. Cukuplah sekali saya alami peristiwa ngeri di sana,’’ kata Leftenan Kolonel Mehat Che Man, 45, pada penghujung perbualannya dengan penulis di pejabatnya baru-baru ini.

Persoalan itu, sengaja penulis timbulkan selepas mendengar pengalaman Kem Komandan, Kem Markas Medan Tentera Darat ini bertarung dengan maut ketika ditugaskan di bawah Misi Pemerhati Tentera PBB di Liberia (UNOMIL) dari 1 Januari hingga 30 April 1996.

Apa yang berlaku di sana umpama mimpi ngeri baginya.

Menyorot kembali peristiwa tersebut, Mehat yang ketika itu berpangkat Mejar berkata, ketika beliau berada di sana keadaan di Liberia telah aman dan pihak pentadbiran PBB telah mula merangka usaha bagi melaksanakan proses pilihan raya membentuk kerajaan baru.

Bagaimanapun, pada awal April tahun itu keadaan tiba-tiba menjadi tegang apabila puak-puak bertelagah kembali berperang.

Sewaktu kekacauan bermula, kebanyakan pemerhati dan pegawai PBB di Mamba Point (Markas UNOMIL) telah bersedia untuk melaksanakan proses evakuasi (pengunduran) dengan berlindung di kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan seterusnya keluar dari negara itu atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, ketika itu ada lima pemerhati PBB di Suehn yang masih gagal berkumpul di kedutaan tersebut.

Oleh kerana itu, Ketua Pemerhati Malaysia yang juga selaku Timbalan Komander UNOMIL, Brigedier Jeneral Abdul Wahid Anuar telah mengarahkan Mehat yang juga Penolong Ketua Team Side UNOMIL di Suehn ke sana untuk menyelamatkan mereka selepas di kepung puak militia.

Walaupun laporan menyebut situasi di pos PBB Suehn agak membimbangkan, namun demi memikirkan keselamatan rakan-rakan setugas lain di sana, Mehat gagahkan juga dirinya melakukan tugas tersebut.

Misinya, kelihatan agak mudah. Terbang ke Suehn menaiki helikopter, diturunkan ke sana dan kemudian bergegas membawa keluar lima pemerhati itu dari situ.

Tetapi apabila misi dimulakan, satu demi satu halangan muncul.

Bermula dengan ketiadaan orang yang sanggup menghantar Mehat ke Lapangan Terbang Sprigg Payne yang telah musnah untuk menaiki helikopter, perjalanan ke sana juga berhadapan dengan bahaya peluru sesat akibat pertempuran yang tercetus di bandar Monrovia.

Ekoran itu, beliau terpaksa menaiki helikopter PBB dari pangkalan ECOMOG untuk menuju ke Suehn.

Selepas menempuh perjalanan selama kira-kira 20 minit, juruterbang akhirnya mendarat kira-kira 200 meter daripada tempat perlindungan para pemerhati PBB yang akan diselamatkan.

Diserang Militan

Ketibaan mereka bagaimanapun disambut oleh ratusan militia yang melepaskan tembakan. Keadaan itu mula menakutkan juruterbang yang akhirnya mengambil keputusan meninggalkan sahaja Mehat dan lima pemerhati yang sepatutnya diselamatkan di situ.

Sebaik dibawa memasuki sebuah rumah tempat pemerhati tersebut berada, Mehat terkejut kerana pemerhati yang masing-masing dari Jordan, Bangladesh, Kenya, China dan Pakistan itu hanya memakai seluar dalam. Mereka juga kelihatan letih, lesu dan agak ketakutan selepas dipukul dan didera dengan senjata sepanjang dikurung puak militia.

Mereka ditawan kerana puak militia mahu menjadikan mereka sebagai perisai manusia seterusnya mengugut pentadbiran PBB di Liberia agar menangkap Rosevelt Johnson yang mengetuai United Liberarian Movement for Democracy in Liberia (ULIMO-J).

Walaupun begitu, Mehat tetap cuba berbincang dengan kumpulan tersebut agar membebaskan mereka. Tetapi puak militia yang sebahagian besarnya terdiri daripada kalangan remaja itu enggan. Sebaliknya mereka menjadikan pula Mehat sebagai tawanan terbaru mereka.

“Waktu itu, saya juga diminta menanggalkan semua pakaian dan hanya dibenar memakai seluar dalam.

“Sepanjang ditawan, banyak perkara yang terlintas di hati saya termasuk kemungkinan dibunuh oleh militia yang terkenal dengan sikap kejam mereka,’’ ujar beliau.

Ada kalanya, air matanya berlinangan memikirkan anak dan isteri yang mungkin tidak akan dapat berjumpa dengannya lagi selepas itu.

Jika dibunuh, tentu sukar untuk PBB mencari jasad mereka untuk dihantar pulang ke tanah air masing-masing. Disebabkan perasaan bimbang jugalah, Mehat sentiasa mencari jalan untuk melarikan diri.

Bagi Mehat, peluang untuk selamat tetap ada kerana beliau tahu arah atau jalan yang sesuai untuk melarikan diri ke Monrovia.

Malah tugasnya sebagai Pegawai Gerakan Udara di Ibu Pejabat UNOMIL selama tiga bulan sebelum itu yang menyaksikannya banyak bergerak menggunakan helikopter, membolehkannya mengetahui kawasan atau jalan-jalan yang sesuai untuk melarikan diri.

Namun, kesemua pemerhati terbabit tidak mahu mengikutnya pada peringkat awal. Mereka takut akan tertangkap dan dan dibunuh militia sambil mengharap PBB akan menghantar pihak lain untuk menyelamatkan mereka.

Bagaimanapun, selepas menyakinkan mereka, akhirnya mereka bersetuju mengikutinya. Baginya, jika terus berada di situ lambat laun mereka akan dibunuh juga. Lagipun, sikap seorang pemerhati yang sering bertukar menjadi histeria setiap kali mendengar bunyi tembakan, sering mencemaskan Mehat.

Melarikan Diri

Lantaran itu, beliau nekad untuk melarikan diri apabila tiba masa yang sesuai. Dengan bantuan peta yang dibawanya, beliau mengatur rancangan untuk melarikan diri ke Pelabuhan Freeport, Monrovia kerana mendapat tahu hanya melalui jalan laut sahaja yang akan membolehkan mereka keluar dari Liberia.

Satu malam, puak militia mengadakan parti secara besar-besaran.

“Masa itu, saya fikir inilah peluang terbaik melarikan diri selepas melihat ramai di antara mereka telah mabuk dan khayal selepas mengambil ganja,’’ terangnya.

Kira-kira pukul 6 pagi pada 13 April 1996, di kala semua militia sedang nyenyak tidur bergelimpangan, mereka melarikan diri menuju ke sebuah kampung selepas merangkak keluar dari rumah tahanan secara taktikal.

Selepas berjaya keluar, mereka berjalan melalui celah-celah hutan kecil mengikut trek tanah merah berpandukan peta.

Tiba di kampung berhampiran, mereka mengambil sebarang pakaian yang dijumpai. Kebanyakannya uniform yang mirip milik tentera AS dan Mesir.

Walaupun, terpaksa mencuri, namun itu sajalah cara terbaik untuk menyamar diri daripada ditangkap militia.

Mereka juga melumurkan arang ke anggota badan untuk mengelirukan militia. Maklumlah, pemerhati dari Jordan dan China agak cerah dan ini boleh mengundang perhatian militia lain.

Setelah berjalan kira-kira empat kilometer dari kampung berkenaan, mereka terjumpa sebuah trak kecil milik tentera ECOMOG tersadai di sebuah kampung.

Mereka bernasib baik kerana kunci trak masih terdapat di situ. Selepas mencuba beberapa kali, akhirnya enjin trak yang mempunyai kesan ditembak dan cermin pecah itu dapat dihidupkan.

Walaupun begitu, masalah lain pula timbul. Jika mereka sendiri yang memandunya, tentu sukar untuk mereka melepasi sekatan jalan yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan militia.

Disebabkan itu, mereka mengambil keputusan untuk mencari penduduk yang sanggup untuk membawa mereka ke pelabuhan Freeport. Akhirnya, seorang lelaki bersetuju untuk menghantar mereka ke sana selepas dijanjikan upah yang lumayan.

Untuk mengelak daripada dikesan ketika dalam perjalanan, mereka berenam terpaksa meniarap di atas lantai trak dengan diselimuti kanvas, kayu-kayu dan rumput kering. Tujuannya untuk mengaburi, kononnya trak itu hanya membawa kayu api.

Mehat memang menjangka kehilangan mereka lambat laun akan diketahui dan pasti dicari puak militan di Suehn. Dalam perjalanan merentasi tanah merah, mereka menempuh tujuh sekatan jalan raya.

“Kami tidak tahu pihak mana yang buat sekatan. Tetapi setiap kali tiba di sana kami dapati pemandu tersebut ditanya banyak soalan.

“Pada masa yang sama, kami bersedia untuk menyelamatkan diri, takut puak militia ternampak kami,’’ katanya.

Dari celah-celah kanvas dan kayu juga, masing-masing dapat melihat apa yang berlaku melalui enam sudut pandangan berbeza.

Tengkorak Manusia

Pada sekatan yang ketujuh dan terakhir, trak mereka ditahan agak lama dan ini meresahkan mereka. Yang hanya kedengaran hanyalah suara pemandu yang sekali-sekala bertengkar dengan militia di situ.

Ketika di sekatan ini juga Mehat dapat melihat banyak tengkorak manusia tergantung di palang kayu yang menjadi penghadang jalan.

Ada antara tengkorak itu yang masih disaluti daging dan kulit manusia, dipacak pada batang-batang kayu.

“Keadaan itu betul-betul menggerunkan saya. Terfikir juga kalau kepala saya dipacakkan sebegitu jika tertangkap.

“Masa itu juga, segala ayat al-Quran yang saya tahu, saya baca tanpa henti,’’ katanya.

Selepas pemandu berbincang sesuatu dengan ketua puak militia di situ, akhirnya mereka dibenarkan meneruskan perjalanan.

Tidak lama kemudian, trak mula memasuki jalan raya berturap, menandakan ia sudah tidak berapa jauh dari Monrovia.

Sepanjang perjalanan juga, mereka dapat melihat kesan-kesan kenderaan dibakar, mayat-mayat yang bergelimpangan termasuk yang telah busuk dan reput tanpa ada siapa yang mahu mempedulikannya.

Pemandangan ngeri itu berterusan sehinggalah mereka tiba di Riverview, Monrovia kira-kira pukul 3 petang setelah merentasi perjalanan sejauh kira-kira 40 kilometer yang mengambil masa 10 jam.

Ketibaan mereka mengejutkan pihak Markas UNOMIL kerana mereka berjaya tiba dengan selamat.

Di situ juga, keenam-enam mereka dimaklumkan akan dibawa keluar dengan kapal laut dari Monrovia ke Freetown pada 14 April yang kemudiannya ditunda kepada pagi 15 April.

Ketika menuju ke pelabuhan, Mehat dapat melihat ribuan orang sedang berpusu-pusu ke arah yang sama. Selepas meredah lautan manusia yang seperti pelarian itu, akhirnya mereka tiba di pelabuhan pada pukul 11 pagi.

Ketika itu yang masih berlabuh ialah Victory Referee, kapal dagang milik sebuah negara Afrika yang terperangkap di pelabuhan tersebut sewaktu kekacauan meletus.

Disebabkan tiada kapal lain, maka semua yang ada di situ berebutrebut untuk menaiki kapal berkenaan termasuk pemerhati PBB dan warga asing.

Tanpa disangka, dalam kekalutan yang berlaku, Mehat terjumpa dengan Abdul Wahid yang turut sedang berusaha untuk menaiki kapal yang sama.

Memandangkan Victory Referee merupakan kapal terakhir yang akan meninggalkan Liberia, maka mereka terpaksa berasak-asak dengan orang lain untuk menaiki kapal berkenaan dan akhirnya berjaya.

Sepanjang ditawan, banyak perkara yang terlintas di hati saya termasuk kemungkinan dibunuh oleh militia yang terkenal dengan sikap kejam mereka.

Dari atas kapal itu juga, mereka dapat melihat banyak bot-bot kecil yang dinaiki pelarian cuba menghampiri kapal tersebut. Berpuluh yang lain cuba menaiki kapal dengan bergayut pada tali sauh.

Disebabkan ramai yang berdegil mahu menaiki kapal itu walaupun telah sesak, maka kapal hanya dapat bertolak pada kira-kira pukul 7 malam pada 15 April walaupun asalnya dijadualkan pada pukul 12 tengahari.

Itupun selepas anak-anak kapal terpaksa memotong tali sauh dan menolak ribuan manusia lain yang tetap berusaha menaiki kapal tersebut meskipun ketika itu kira-kira 1,000 orang telah berada di atas kapal sedangkan muatan yang dibenarkan hanya 300 orang.

Dengan membuat muatan yang melebihi had yang dibenarkan, maka kapal itu hanya dapat belayar dengan kelajuan lima knot sahaja.

Keadaan atas kapal juga amat sesak dan tanpa bekalan air. Ramai juga yang sakit. Di samping itu, setiap penumpang hanya mempunyai ruang untuk duduk sahaja. Tiada ruang untuk berbaring atau melunjurkan kaki.

Dibadai Ribut

Pada hari pertama pelayaran, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Tetapi, menjelang malam hari kedua, kapal dipukul angin ribut dan ombak kencang.

“Waktu itu juga kami mendengar suara orang meminta tolong selepas tercampak di dalam laut.

“Tiada siapa yang dapat menolong mereka, kerana masing-masing takut akan turut tercampak dari kapal,’’ katanya sambil memberitahu ribut itu hanya reda dua jam kemudian.

Hari ketiga pelayaran menyaksikan sesuatu yang tidak diduga berlaku apabila tiba-tiba kedengaran tembakan dari tengah laut.

Tembakan itu menimbulkan situasi cemas di atas kapal. Dalam keadaan kelam kabut itu, Mehat dapat melihat dengan jelas kehadiran lima buah bot yang dinaiki kumpulan bersenjata dipercayai lanun.

Di kala bot-bot lanun cuba merapati kapal tiba-tiba seorang tentera pengaman ECOMOG berpakaian awam yang kebetulan turut menaiki kapal itu melepaskan tembakan ke atas lanun-lanun terbabit.

Walaupun hanya seorang diri, tentera ECOMOG itu membalas setiap tembakan lanun dan ini menyebabkan mereka akhirnya terpaksa melarikan diri.

Kehadiran tentera ECOMOG itu memang tidak dijangkakan. Jika tidak mungkin sekali lagi Mehat dan rakan-rakannya akan alami semula nasib malang seperti di Suehn.

Selepas belayar selama tiga hari dua malam, akhirnya mereka tiba di Freetown. Dari pelabuhan Freetown, esoknya mereka diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sierra Leone diikuti ke Lapangan Terbang Dakar, Senegal.

Pada 28 April 1996 bersama beberapa pegawai pemerhati PBB yang lain Mehat meninggalkan Senegal untuk menuju ke tanah air, membawa sekali pengalaman ngeri yang dilaluinya.

Biarpun begitu, kepintaran Mehat mengatur strategi untuk menyelamatkan lima pemerhati PBB itu telah membuktikan kehebatan yang dimiliki oleh warga Tentera Darat sekali gus menaikkan imej negara dan Angkatan Tentera Malaysia di mata dunia.

Ekoran kejayaan itu jugalah, maka beliau yang dianggap wira oleh rakan-rakan setugas di Liberia telah diberikan surat penghargaan oleh Komander UNOMIL. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Loading...