Meghan, Harry Impikan Anak Berkarakter Feminis

KARAKTER feminis menjadi pilihan bagi Meghan Markle dan Putera Harry untuk membesarkan anak sulung mereka yang bakal lahir Mei ini.

Demikian pandangan yang dilontarkan Meghan ketika sesi perbincangan panel yang dikendalikan Yayasan Komanwel Ratu, minggu lalu.

Buat kali pertama Duchess of Sussex itu muncul dalam meraikan Hari Wanita Sedunia untuk membicarakan isu-isu berkaitan golongan wanita pada masa kini.

Apabila ditanyakan tentang kehamilannya, Meghan menjawab: “Ia sangat baik, juga melucukan. Saya ada menonton dokumentari di Netflix berkaitan feminisme dan satu perkara yang mereka kongsi cerita apabila ketika hamil, mereka dapat merasakan tendangan seorang feminis. Tak kisah lelaki atau perempuan, kami pun berharap begitu.”

Semasa perbincangan berlangsung, panel perbincangan itu mengatakan Meghan sebagai “kerabat diraja yang tidak takut akan feminisme.”

Meghan turut serta dalam perbincangan tersebut bersama penyanyi, Annie Lennox; model, Adwoa Aboah; bekas Perdana Menteri Australia, Julia Gillard; pengasas Let us Learn, Chrisann Jarret dan Angeline Murimirwa yang merupakan pengarah eksekutif kempen pendidikan untuk wanita di Afrika, pemimpin pemuda wanita pan-Afrika serta editor akhbar The Economist, Anne McElvoy selaku pengerusi majlis itu.

Selain itu, Meghan dan Harry turut teruja bakal bergelar ibu bapa, dan mereka pasti bayi yang bakal dilahirkan itu akan menyinari kehidupan sekeluarga.

Ketika ini, mereka masih menetap di Windsor, sebelum pasangan itu berpindah ke Frogmore Cottage dalam beberapa minggu akan datang.

Dalam pada itu, Frogmore Cottage masih dalam proses pengubahsuaian termasuk penggunaan tenaga semula jadi yang berjumlah 50,000 pound sterling (RM265,146) dipasangkan khas untuk anak sulung mereka.

Walaupun pasangan terkenal ini belum membuat apa-apa pengumuman tentang jantina bayi mereka, namun segelintir pihak meneka kebarangkalian anak sulung pasangan tersebut perempuan kerana berdasarkan pemerhatian foto ‘baby shower’ Meghan di New York baru-baru ini menunjukkan kek dihiasi warna merah jambu. – hellomagazine.com