Media Rakan Kongsi Kerajaan Salurkan Maklumat Tepat – Aminuddin

SEREMBAN – Media boleh menjadi rakan kongsi kepada kerajaan bagi usaha membawa negara dan negeri ke satu platform pembangunan yang baharu, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata melalui kerjasama dan persefahaman yang akrab bersama media, ia mampu memberikan pemahaman yang jelas kepada rakyat bahawa kerajaan mempunyai dasar yang baik untuk mereka.

“Melalui ‘symbiotic relationship’ antara kerajaan dan media massa, ia dapat membantu melahirkan pasukan komunikasi dalam kalangan organisasi kerajaan yang lebih cekap dalam mengendalikan maklumat.

“Dengan hubungan yang baik terjalin, kerajaan dapat memberi penjelasan yang betul dan tepat melalui media massa agar rakyat dapat memahami apa jua masalah yang mungkin timbul,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Jalinan Mesra YAB Menteri Besar Negeri Sembilan serta Kepimpinan Kerajaan Negeri dan Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Beliau turut menyerahkan replika cek sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan pada majlis itu yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan Zulkefly Mohd Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri Razali Ab Malik dan Pengarah Penyiaran Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan Zainal Abidin Asri Abd Wahid.

“Kerajaan negeri amat menghargai segala publisiti yang telah diberikan secara langsung dan tidak langsung oleh pihak media dalam usaha memantapkan lagi pentadbiran negeri menuju ke arah mencapai negeri yang ‘Bersih, Muafakat, Sejahtera’,” katanya. – BERNAMA