MB Perak Ditekan DAP Isu Hak Milik Tanah 999 Tahun

KUALA LUMPUR – UMNO Perak mengingatkan kerajaan negeri itu supaya tidak mencabul Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan hak milik 999 tahun untuk tanah di kampung-kampung baru.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad menegaskan, langkah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak turut mengingatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mesyuarat itu telah memutuskan tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru tidak boleh melebihi 99 tahun.

Katanya, ketetapan itu adalah di bawah Seksyen 76(aa) (iii) Kanun Tanah Negara 1965.

“Menteri Besar hendaklah bertindak mengikut lunas serta semangat Perlembagaan serta mematuhi ketetapan Kanun Tanah Negara bagi memastikan kestabilan negeri ini.

“Jangan hanya kerana “permainan serta kepentingan politik”, kerajaan negeri sanggup mencabul perlembagaan dan melanggar prinsip perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas desakan DAP supaya kerajaan Perak memberikan hak milik tanah 999 tahun.

Perkara itu dibangkitkan Pengerusi negeri, Nga Kor Ming dalam ucapan dasarnya pada Konvensyen DAP Perak.

Saarani berkata, DAP cuba bermain sentimen kaum dengan menekan menteri besar dan terus menerus memainkan isu hak milik 999 untuk Kampung Baru.

Katanya, banyak lagi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai keutamaan belum dipenuhi, termasuk menghapuskan tol, menurunkan harga minyak serta memberikan pendidikan percuma.

“Mengapa hanya janji hak milik tanah 999 yang terus menerus dibangkitkan. Apatah lagi, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkali-kali menyatakan manifesto bukan kitab suci,” ujarnya.

Menurut Saarani, tindakan langkah Kor Ming menayangkan klip video menunjukkan Ahmad Faizal berucap membacakan tawaran PH sebelum PRU14 dan satu ucapan selepas PRU14 ketika sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Perak, jelas menunjukkan DAP sedang menekan menteri besar.

Beliau juga menyatakan perkara itu menunjukkan DAP sebuah parti chauvinis perkauman yang hanya mementingkan satu kaum sahaja dan menidakkan hak kaum lain. – MalaysiaGazette

Loading...