Mazlan Timbalan Ketua Polis Negara Yang Baharu

PUTRAJAYA – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuatkuasa 9 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya yakin dengan pengalaman luas yang dimiliki Mazlan merangkumi pelbagai sektor dalam pasukan berkenaan.

“Dengan gandingan mantap beliau dan Ketua Polis Negara yang baharu, kita harap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap apa kita lakukan pada masa depan.

“Ini terutama dalam meningkatkan perkhidmatan dan martabat pasukan sebagai agensi penguatkuasaan yang disegani dan dihormati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Polis Negara di bangunan kementerian di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Mazlan mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara baru-baru ini.

Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sebelum ini dipangku oleh Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara berkuat kuasa bulan ini.

Loading...