MAZA Desak Debat Zakir Vs Ramasamy

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menggesa satu debat terbuka antara pendakwah Islam, Dr. Zakir Naik dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy diadakan sebelum kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan untuk mengusir Dr. Zakir pulang ke India.

Menurut beliau, debat itu juga wajar dibenarkan oleh DAP yang mentadbir kerajaan Pakatan Harapan atas semangat “Malaysia Baharu” yang terbuka dan telus dalam membuat penilaian secara matang dan ilmiah.

“Malaysia Baharu” adalah slogan yang dicanang oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan sejak Pakatan Harapan berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya mencadangkan satu debat antara Dr Zakir Naik (pendakwah muslim / individu yang dikehendaki oleh Kerajaan India) VS Dr Ramasamy (tokoh DAP / individu yang dikaitkan dengan pertubuhan pengganas Tamil antarabangsa) dibuat segera.

“Tajuk debat : WHO IS THE REAL TERRORIST?. Debat ini hendaklah dibuat secara terbuka yang dapat disaksikan oleh setiap lapisan rakyat. Siaran langsung media hendaklah diberikan ruang. Biar rakyat menjadi saksi tentang polemik ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ramasamy, Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) yang juga rakan strategik Pakatan Harapan dan beberapa NGO berkaitan Hindu mengulangi desakan supaya Dr. Zakir dihantar pulang ke India selepas PRU-14.

Kerajaan India mendakwa Dr. Zakir yang berjaya mengIslamkan ramai penganut agama lain melalui ceramah agamanya terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram.

Kelmarin, Menteri Sumber Manusia Malaysia, M. Kulasegaran memaklumkan beliau dan beberapa anggota Kabinet lain termasuk Gobind Singh Deo dan Xavier Jayakumar telah membangkitkan tentang Dr. Zakir dalam mesyuarat Kabinet.

Kata Kulasegaran, Kabinet telah memutuskan akan patuh jika Kerajaan India mengemukakan permohonan rasmi supaya Dr. Zakir dihantar pulang ke India bagi berhadapan perundangan di negara tersebut.

Kenyataan Kulasegaran berhubung keputusan kerajaan Malaysia itu bercanggah dengan dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir iaitu Malaysia tidak akan menghantar Dr. Zakir yang memegang status penduduk tetap di Malaysia pulang ke India selagi tidak menimbulkan masalah.

Dr. Zakir memperoleh status penduduk tetap di Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditumbangkan oleh rakyat dalam PRU-14 kerana mahukan “Malaysia Baharu”

Mengulas lanjut cadangan debat itu, Asri berkata, DAP wajar membenarkan debat itu jika benar parti itu mendakwa memperjuangkan kebebasan bersuara, nilai intelektual dan hak rakyat untuk menilai kebenaran.

“Jika enggan, maka nyata isu ini hanya sikap permusuhan antara mereka dan umat Islam semata,” jelasnya.

Mufti Perlis turut mencadangkan pihak yang tewas dalam debat itu mungkin boleh dihantar pulang ke India seperti yang menjadi hasrat mereka.

“Salah seorang akan pulang ke sana. Mohon semua pihak khususnya rakyat awam membantu menggesa debat ini diadakan dengan segera,” katanya. – MYNEWSHUB.TV

Loading...