Mayat Wanita Singapura Lemas Berkayak Dituntut Keluarga

KEMAMAN – Mayat wanita warganegara Singapura yang lemas selepas menyertai aktiviti berkayak di perairan Mersing, Johor pada Khamis minggu lalu telah dituntut ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, mayat Puah Geok Tin, 57, dituntut ahli keluarganya yang diiringi wakil Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia pada pukul 10 pagi.

“Mayat mangsa akan dibawa pulang ke Singapura untuk upacara pengebumian melalui Johor Bahru.

“Setakat ini, saya difahamkan seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Tan Eng Soon, 62, juga warga negara Singapura belum dijumpai,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan mayat Geok Tin yang dijumpai terdampar kira-kira 5.4 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman dekat sini pada kelmarin dicam ahli keluarganya yang tiba dari Singapura.

Terdahulu, wanita itu dan rakan senegara, Eng Soon hilang akibat terpisah dengan 13 peserta aktiviti kayak lain di perairan antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing, Johor pada pukul 5.40 petang, 8 Ogos lalu. – K! ONLINE

Loading...