Mayat Nazrin Dijumpai Tidak Seperti Mangsa Kebakaran Lain

SHAH ALAM – Seorang saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa keadaan mayat lelaki itu ketika dijumpai tidak seperti mangsa kebakaran lain.

Saksi pendakwaan ke-13, pegawai bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Tanhoss Bah Agem, 29, berkata ini kerana, mayat Nazrin dijumpai dalam keadaan terbaring lurus kira-kira 0.3 meter daripada katil dalam bilik tidur lelaki berkenaan.

Tanhoss merupakan pemangku penyelia Bahagian Operasi balai bomba tersebut semasa kejadian kebakaran bilik tidur di tingkat atas kediaman Nazrin di Mutiara Homes, Mutiara Damansara pada 14 Jun 2018.

Berdasarkan pengalamannya selama lapan tahun dalam pasukan bomba dengan lebih tiga kali berdepan kes kebakaran melibatkan kematian, beliau berkata kebiasaannya mangsa yang terperangkap dalam kebakaran dijumpai dalam keadaan cuba menyelamatkan diri.

“Biasanya mangsa (kebakaran) dijumpai (di lokasi kejadian) dalam keadaan pelbagai kedudukan. Ada dijumpai berkeadaan melutut, meniarap dan sebagainya.

“Biasanya, jika mangsa tak jumpa jalan keluar, mereka akan mati di situ (tempat terakhir mangsa mencari jalan keluar). Namun, keadaan mangsa ini (Nazrin), seperti dia tidak cuba menyelamatkan dirinya,” katanya ketika menjawab pertanyaan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Salim [email protected] di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Salim: Semasa tuan masuk ke bilik itu (bilik tidur Nazrin), bagaimana keadaan asap kebakaran?

Tanhoss: Asap sudah berkurang dan boleh nampak dengan jelas keadaan mangsa.

Salim: Apa pemeriksaan yang tuan buat?

Tanhoss: Saya periksa nadi mangsa dan dengar pernafasannya. Didapati dia sudah tidak bernyawa. Tilamnya terbakar seratus peratus. Saya juga terlihat ada kesan terbakar dan luka pada bahagian kepala, tiga kesan cucukan di leher kiri dan bahan terbakar pada dada mangsa.

Salim: Bahan apa yang terbakar?

Tanhoss: Saya tidak pasti bahan itu.

Salim: Ada kesan luka di kepala mangsa. Jelaskan keadaan luka itu dan tiga kesan cucuk berkenaan.

Tanhoss: Kesan luka itu di sebelah kiri kepala mangsa. Rambutnya basah, tidak pasti darah atau apa. Namun, lukanya agak dalam, boleh nampak putih di dalamnya. Cuma saya tidak pasti lapisan kulit dalam atau tengkorak mangsa. Pada tiga kesan cucukan itu pula terdapat sedikit kesan darah.

Tambah Tanhoss, selepas memeriksa nadi dan pernafasan Nazrin, beliau turun ke tingkat bawah rumah tersebut dan ternampak isteri lelaki itu, Samirah Muzaffar, 44, di dapur lalu memberitahu yang suaminya sudah tidak sedarkan diri.

“Isteri mangsa (Samirah) menjadi sangat agresif. Dia nak rempuh naik ke bilik. Saya beritahu begitu supaya dia tenang. Bagaimanapun, dia beritahu saya yang dia nak tahu suaminya sudah mati atau tidak?” katanya.

Kata Tanhoss, selepas didesak oleh isteri Nazrin supaya memberitahu mengenai keadaan suaminya yang sudah meninggal dunia, beliau melihat Samirah menarik nafas dengan menunjukkan cara wanita itu berbuat demikian.

Pada 12 Mac lepas, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada Jumaat depan.

Loading...