Mayat Kru Kapal Layar Ditemukan Lemas

16

Langkawi : Pencarian kru kapal layar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada bot di perairan Kuah di sini, petang kelmarin, berakhir apabila mayat mangsa ditemukan lemas, pagi ini.

Ikuti Mynewshub: Facebook,TwitterTikTokTelegram, Instagram

Mayat Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 24, ditemukan terapung oleh orang awam kira-kira 1.5 batu nautika dari lokasi kejadian pada jam 7.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mayat mangsa ditemui sekumpulan orang awam sebelum menghubungi polis.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) diarah ke titik koordinat bagi proses pengambilan mayat dan dibawa ke Jeti Marble di sini.

“Pengecaman mayat dilakukan oleh bapa, ibu dan kakak mangsa, sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Shariman berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditutup jam 9 pagi ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Ibrahim Majid, 68, ketika ditemui berkata, dia dan keluarganya yang tiba dari Alor Setar sejak semalam reda dengan pemergian anak bongsunya itu.


“Alhamdulillah. Hari ini selesai semuanya selepas mayat ditemui dan saya anggap kehadiran arwah dalam keluarga selama ini adalah pinjaman semata-mata.

“Saya dan isteri, Norhayati Saad, 60, serta keluarga membuat keputusan untuk mengebumikan jenazah arwah di sini (Langkawi),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Nur dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah di sini, jam 5 petang Rabu.

Ketika kejadian mangsa dilaporkan terlewat hadir bertugas dan mengemudi bot bersendirian dari Jeti Marble dan cuba mengejar kapal layar di kawasan berhampiran.

Nelayan yang dalam perjalanan pulang menemui selipar dan topi terapung berhampiran bot kecil sebelum mendapat pertolongan rakan dan menghubungi polis.

-Harian Metro