SETIU – Seorang guru, Abd Rauf Mohd Zulkarnain, 27, yang hilang setelah dihanyutkan arus deras Sungai Setiu Khamis lepas, ditemui oleh pasukan penyelamat pukul 10.15 pagi ini, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata mayat mangsa ditemui terapung oleh anggota bomba ketika anggota unit skuba membuat pencarian di kawasan pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Setiu dengan menggunakan bot.

“Semasa ditemui mayat mangsa lengkap berpakaian. Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Abdul Rauf sebelum ini dihanyutkan arus deras selepas mandi di sungai itu bersama adik lelaki dan dua rakan mereka pada Khamis lepas. – BERNAMA

Loading...