Mayat Dalam Longkang Ada 13 Kesan Tikaman

SHAH ALAM – Mayat wanita yang ditemui di dalam sebuah longkang di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, di sini pada Isnin lalu mempunyai 13 kesan tikaman pada bahagian dada dan perut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dikenali Tan Siew Mee, 52, merupakan seorang pengurus restoran di One City, Subang Jaya itu dan berasal dari Pokok Sena, Kedah.

Beliau berkata, hasil bedah siasat turut mendapati terdapat kesan kelar di bahagian leher dipercayai dengan senjata tajam.

“Punca kematian mangsa adalah disebabkan ‘Multiple Stab Wound To The Abdomen’ dan kita percaya mangsa telah meninggal dunia dalam tempoh lebih 72 jam.

“Bagaimanapun, sehingga kini mayat mangsa masih berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan belum dituntut oleh waris,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa bukan mangsa jenayah seperti rompak atau samun kerana barang berharga milik mangsa tidak hilang.

“Cincin emas milik mangsa masih ada dijari mangsa. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan motif pembunuhan itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa pihaknya sedang mengesan suami mangsa yang dikenali sebagai Lim Ah [email protected] Kok Hoe atau dikenali sebagai William berusia 79 tahun.

Katanya, sehingga kini suami mangsa masih gagal dikesan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh terus menyalurkannya terus kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Daniel Lee di talian 019-6820550 atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah alam di talian 03-55202222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selasa lalu, mayat seorang wanita disyaki dibunuh ditemui dalam sebuah longkang di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, di sini.

Mayat mangsa berusia dalam lingku­ngan 30-an itu disumbat dalam beg pa­kaian ditemui oleh seorang pekerja sebuah syarikat telekomunikasi kira-kira pukul 5.55 pagi.