Mayat Bayi Dengan Kesan Lebam Ditemukan Tertiarap

SERDANG – Seorang lelaki dikejutkan dengan penemuan mayat bayi perempuan berusia lapan bulan dalam keadaan tertiarap bersebelahan loji rawatan kumbahan, Taman Kinrara 1, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd. Rusdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat bayi berkenaan kira-kira pukul 1.18 tengah hari daripada seorang lelaki sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Pengadu merupakan seorang pemandu lori yang melalui kawasan tersebut dan terlihat mayat mangsa sebelum menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang.

“Siasatan awal mendapati bayi perempuan berkenaan berusia dalam lingkungan lapan ke sembilan bulan dan tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan warga tempatan berikutan penemuan kesan suntikan imunisasi Bacillus Calmette Guerin (BCG) di lengan kirinya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurut Mohd. Rusdi, pemeriksaan lanjut yang dilakukan turut menemui beberapa kesan lebam di bahagian kepala dan kaki mayat bayi yang lengkap berpakaian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa dan individu terlibat.

“Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.

“Mengulas lanjut, Mohd. Rusdi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkannya ke mana-mana balai polis terdekat,” ujar beliau. – K! ONLINE

Loading...