Mayat Anggota Polis Selamatkan Anak Ditemui

MUAR – Mayat anggota polis yang lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya, yang terjatuh ke dalam Sungai Muar, di jeti berhampiran Istana Tanjung, di sini Isnin lepas ditemui pagi ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata mayat Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, ditemui di tepi Jeti Nelayan Sungai Senduk, Sungai Mati, Tangkak dekat sini kira-kira sembilan kilometer (KM) dari lokasi kejadian oleh orang awam pada 7.30 pagi ini.

“Mayat anggota yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar itu dinaikkan ke darat pada 8.45 pagi dan terus dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, mayat anak lelakinya Muhammad Faqih Mohd Fairuz, 7, yang lemas akibat terjatuh ke dalam sungai itu ditemui di Kuala Sungai Muar berhampiran Marina Bay, Tanjung Emas di sini kira-kira satu KM dari tempat kejadian oleh Pasukan Polis Marin pada 2.40 petang.

Kejadian 6.45 petang itu, Mohd Fairuz dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya selepas menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di senteri Istana Tanjung.

Mohd. Fairuz datang ke istana tersebut bersama Muhammad Faqih dan dua lagi anaknya yang berusia sembilan dan empat tahun, bagaimanpun dua lagi anaknya itu selamat. 

Loading...