Mawi Penyampai Stesen Baru Astro Zayan #IndahdiHati

BARU-BARU ini Astro Radio menganjurkan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat dengan meraikan sekumpulan kanak-kanak dari Pusat Jagaan Nuri, Setapak di ibu negara sempena tarikh Maal Hijrah 1 Muharam 1439.

Pada majlis itu, gergasi rangkaian penyiaran tempatan tersebut berkongsi berita baik dengan pihak media apabila umum bakal melancarkan sebuah lagi stesen radio baharu menyinari ruang angkasa tanah air mulai 2 Oktober ini.

Untuk rekod, kali terakhir pendengar mengikuti pelancaran stesen baharu ialah Kool FM (sebelum itu dikenali Ultra FM) di bawah Media Prima Berhad yang mula ke udara pada 1 Mac 2016 dengan taglinenya ‘Temanmu Muzikmu’.

Namun berbeza tradisi saluran radio teresterial Astro yang sedia ada sarat dengan platform hiburan dan informasi, imej stesen terkini dikenali sebagai Zayan #IndahdiHati itu pula menawarkan alternatif agak sedikit berbeza.

Ia dikatakan mengambil konsep penyiaran dakwah Islamiah yang berjaya dipopularkan oleh stesen IKIM.fm milik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Salam FM di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Baca: Betul Ke Astro Bakal Lancar Radio Dakwah Islamiah?

Zayan #IndahdiHati bagaimanapun lebih mementingkan pengisian segar untuk golongan Muslim yang bersifat kontemporari dengan menghidangkan pelbagai kandungan unik dan berteraskan nilai semasa Islam progresif.

Justeru stesen terbaharu Astro Radio ini menyasarkan segmen pendengar berusia antara 18 tahun hingga 34 tahun yang bertumpu khusus kepada pelajar dan dewasa berkerjaya aktif meneroka dunia serta berkongsi pengalaman.

Ini termasuk fesyen, teknologi, hiburan, pendidikan dan gaya hidup berlandaskan model cara positif kehidupan Muslim sebenar. Pendek kata isi kandungannya bukan sekadar program tazkirah atau lagu nasyid yang tipikal.

Bahkan paling penting ialah aspek pemilihan muzik yang ditawarkan stesen termuda ini adalah merangkumi pelbagai lagu tempatan dan antarabangsa terbaik dengan berunsurkan mesej ketuhanan dan nilai murni.

Astro Radio (dahulu dikenali sebagai AMP Radio Networks) ketika ini telah memiliki sembilan saluran termasuk tiga berbahasa Melayu iaitu Era FM dan Sinar FM, manakala THR Gegar terhad liputannya di wilayah Pantai Timur.

Sementara baki lain ialah tiga berbahasa Inggeris (Mix FM, Hitz FM dan Lite FM), selain dua berbahasa Cina (MY FM dan Melody FM), serta satu berbahasa Tamil (THR Raaga) yang liputannya hanya sekitar Pantai Barat.

Lebih unik, Zayan #IndahdiHati menampilkan barisan personaliti bertenaga, peramah, ceria dan memiliki prinsip tersendiri antaranya penyanyi terkenal Asmawi Ani atau Mawi World yang kini semakin dikenali sebagai pelakon.

Tidak ketinggalan ialah bekas penyampai berita dan fesyen Lin Ariffin, ikon muzik remaja yang kelakar Anas, hos program televisyen aktif nasyid di televisyen Raqib serta pengacara majlis berpengalaman luas bidang radio Falyq.

Siaran Zayan #IndahdiHati boleh diikuti dengan jelas secara format RDS menerusi FM Stereo 104.9 Mhz (Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang Barat, Perak Selatan) dan 98.1 Mhz (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Utara).

Juga melalui frekuensi 106.4 Mhz (Perak Tengah), 91.6 Mhz (Pahang Timur, Terengganu Selatan), 98.9 Mhz (Melaka, Johor Utara) serta 92.8 Mhz (Johor Selatan, Singapura, Batam Indonesia). – Mynewshub.cc/HAA

Dengarkan Zayan bermula 2 Oktober 2017

Bermula 2 Oktober 2017 , dengarkan Zayan di frekuensi-frekuensi berikut: #IndahDiHatiAlor Star : 98.1 FMIpoh : 106.4 FMLembah Klang : 104.9 FMMelaka : 98.9 FMJohor Bahru : 92.8 FMKuantan: 91.6 FM

Posted by Zayan on Rabu, 27 September 2017

Loading...