Matthew Davies Pelaburan Terbaik – TMJ

JOHOR BAHRU – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penyertaan Matthew Davies dalam skuad Harimau Selatan sebagai satu pelaburan terbaik.

Ini kerana, katanya, bekas kapten Pahang itu masih muda selain diyakini mampu menguatkan lagi skuad Benjamin Mora mengharungi kempen Liga Malaysia, bermula hujung bulan ini.

“Kami berbesar hati apabila mendapat Matt Davies yang memiliki sikap profesional dan tahu apa yang diinginkan kelab ini. Pastinya kehadirannya akan memantapkan lagi pasukan terutama di benteng,” kata Tunku Ismail

Ditanya berhubung nilai perpindahan pemain berusia 25 tahun itu ke JDT, Tunku Ismail enggan mendedahkan dan hanya memaklumkan segala urusan perpindahan itu antara beliau dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

“Ia antara dua pemilik kelab dan itu antara saya dan Tengku Muda Pahang,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata, kehadiran Davies tidak menjejaskan tempat pemain lain terutama posisi bek kanan kerana Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan agak lama.

Katanya, S Kunanlan juga tetap bersama JDT memandangkan pemain itu memberi sumbangan terbaik namun umurnya semakin meningkatkan menyebabkan JDT perlu melakukan pelaburan awal.

Malah Tunku Ismail mendedahkan betapa kelibat Davies sudah diperhati sejak tiga tahun lalu ketika pemain itu bersama Pahang dan menganggap sudah menimba pengalaman terbaik bersama skuad kendalian Dollah Salleh.

Tambah Tunku Ismail, Davies tampak menunjukkan kematangan selepas beraksi bersama Pahang dan turut mempamerkan aksi terbaik ketika menyertai skuad Harimau Malaya namun pemain itu tidak dapat beraksi untuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini .

Mengenai perancangan musim depan, Tunku Ismail juga mendedahkan akan membawa masuk dua atau tiga pemain baharu bagi membawa cabaran skuad Harimau Selatan.

“Itu perancangan kami musim depan dan kebanyakan pemain tempatan dan mungkin seorang pemain import dan nanti kita akan umumkan jika segala urusan dinoktahkan,” katanya. – BH Online

Loading...