Mat Komando: Ingin Terjun Semula Walau Bertulang Besi

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

MELIHAT kepada bentuk badannya yang tegap laksana ahli bina badan, tiada siapa yang percaya jika dikatakan lelaki yang popular dengan gelaran Mat Komando ini dahulunya pernah lumpuh daripada leher sampai ke hujung jari kaki.

Apatah lagi di zaman mudanya, beliau dikenali sebagai seorang yang memiliki kekuatan serta kebolehan luar biasa sehingga ramai menyangkanya kebal. Sebut apa sahaja aksi menakutkan yang biasa dilakukan oleh penjual ubat jalanan untuk melariskan perniagaan mereka, hampir semuanya telah dicuba oleh bekas tentera ini.

Baik ditetak dengan parang tajam, dipanah dengan dart, mengunyah kaca botol atau gelas yang dipecahkan, menelan pisau pencukur, dibelasah dengan batang besi, mengangkat batu seberat 80 kilogram dengan gigi mahupun membengkokkan besi dengan leher.

Tidak cukup dengan itu, anak kelahiran Kuala Kurau, Perak ini juga pernah menarik trak seberat tiga tan, dihentak dengan tukul besi di dada yang diletakkan beberapa biji bata di samping aksi-aksi lain yang mendebarkan.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika mereka yang tidak mengenalinya sukar mempercayai kisah yang beliau pernah lumpuh.

Sedangkan ketika lumpuh dahulu, Mat Komando masih ingat orang pernah menuduhnya gila gara-gara tindakannya menanam diri dalam pasir di pantai setiap hari kerana percaya kaedah itu berupaya menyembuhkannya.

Bagaimanapun, bagi bekas anggota Rejimen Gerak Khas (RGK) ini, beliau tidak pernah kisah dengan tanggapan serong masyarakat terhadapnya ketika itu.

“Apa yang penting saya telah buktikan bahawa saya mampu pulih semula walaupun saya sudah tidak lagi boleh melakukan penerjunan,’’ kata Pegawai Waran II (B) Ahmad Basah, 57, sambil memberitahu kemalangan ngeri yang menimpanya itu masih melekat kuat dalam ingatannya sehingga kini.

Kemalangan Ngeri

Pagi itu, tanggal 17 Mei 1979 beliau bersama tiga rakan lain diminta melakukan penerjunan bebas dari sebuah pesawat menggunakan sebuah payung terjun yang baru diperkenalkan di negara ini.

Ahmad dipilih kerana dia merupakan salah seorang jurulatih payung terjun Pusat Latihan Peperangan Khas (Pulpak) di Sungai Udang, Melaka serta berpengalaman luas dalam aktiviti tersebut.

Semasa hendak menaiki pesawat, entah mengapa hatinya terasa kurang sedap.

Dia juga kehilangan semangat, sedangkan semasa melakukan lebih 500 penerjunan sebelum ini, tidak pernah dialaminya perkara seperti itu.

“Saya cuba ketepikan perasaan tersebut, namun agak sukar sehinggalah di saat pesawat telah berada tinggi di udara,’’ katanya yang memperoleh sijil Kursus Jump Master pada tahun 1974.

Semasa di ketinggian 3,660 meter, Ahmad dan tiga rakannya mula terjun keluar dari pesawat yang sedang berlegar di ruang udara Kluang, Johor seorang demi seorang.

Mereka kemudiannya terawang-awang di udara sambil berpegangan tangan membentuk formasi tertentu. Sebaik berada di ketinggian 1,220 meter, mereka berpisah dan membuka payung masing-masing.

Malangnya, payung Ahmad yang mempunyai tujuh bucu tidak membuka dengan baik sehingga menyebabkan tubuh Ahmad berputar ligat dan mula menjunam ke bumi dengan laju.

Inilah bukti kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Lebih menggembirakan ialah saya boleh mendapat zuriat, bukan setakat seorang, tetapi lima orang. Sedangkan doktor sebelum itu kata tidak mungkin saya boleh dapat anak lagi selepas lumpuh.

Yang terbayang di fikirannya waktu itu hanyalah maut. Sebagai persediaan menghadapi kematian, beliau berulang kali mengucap dua kalimah syahadah sambil menyebut nama Allah.

Di saat genting itu juga Ahmad sempat berdoa: “Ya Allah, jikalau anakku yang masih dalam kandungan ibunya ingin melihat wajahku, Engkau selamatkanlah nyawaku.’’

Pada masa itu, isterinya, Norlia Alang sedang sarat mengandung anak kedua mereka. Beberapa detik kemudian beliau terhempas di atas jalan tar di kawasan Kem Mahkota, Kluang.

Dalam kesakitan yang amat sangat, beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Di hospital, Ahmad sempat mendengar suara doktor yang menyatakan harapannya untuk pulih adalah tipis selepas pangkal paha kiri dan tulang belakangnya patah. Selepas itu, beliau pengsan.

Empat hari kemudian beliau dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak, Melaka dan menerima rawatan selama 20 hari dan seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas tiada tanda menunjukkan beliau akan pulih.

Di HKL, doktor memasukkan besi sepanjang kira-kira tiga sentimeter pada tulang belakangnya dalam satu pembedahan untuk membaiki keadaan tulangnya.

Namun, usaha itu tidak membawa apa-apa makna apabila Ahmad tetap gagal menggerakkan anggota tubuh badannya.

Lebih menyedihkan, alat kelaminnya tidak lagi boleh berfungsi di samping terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun tiada sesiapapun memberinya harapan untuk pulih semula, Mat Komando tidak mahu berputus asa.

Gagal cara moden, beliau menggunakan kaedah rawatan tradisional.

Di mana terdengar ada orang yang pandai mengurut, beliau akan pergi berurut.

Komando Gila

Suatu hari, hati Ahmad tergerak untuk menanam dirinya dalam pasir di pantai selepas mengikuti latihan terapi di kolam renang. Tiba di pantai, rakan-rakannya membantu menggorek pasir lantas menanam tubuh Mat Komando hingga paras leher. Bahang panas pasir seolah-olah membakar urat saraf seluruh anggotanya. Itulah yang dilakukannya selama berbulan-bulan sama ada di pantai Tanjung Bidara mahu pun di kampungnya di Pasir Panjang, Selangor.

Perbuatannya itu menghairankan ramai penduduk setempat, sehingga ada yang menuduhnya `komando gila’ kerana menganggap usahanya itu tidak masuk akal serta sia-sia.

Berkat kesungguhannya, masuk bulan ke lapan tanpa diduga, jari kakinya mula boleh digerakkan sedikit.

Suatu hari, beliau dilawati oleh ketuanya. Melihat kedatangan ketuanya, beliau lantas bangun dan memberikan tabik hormat. Semua yang ada di situ terkejut besar melihat apa yang berlaku.

Malah Ahmad sendiri turut terkejut kerana tanpa disedari buat pertama kalinya beliau boleh berdiri walaupun agak terketar-ketar.

Sejak itu, dia semakin bersemangat untuk pulih.

“Inilah bukti kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya. Lebih menggembirakan ialah saya boleh mendapat zuriat, bukan setakat seorang, tetapi lima orang.

“Sedangkan doktor sebelum itu kata tidak mungkin saya boleh dapat anak lagi selepas lumpuh,’’ katanya yang bersara pada tahun 1987 selepas berkhidmat selama 21 tahun.

Biarpun telah pulih, bapa kepada tujuh orang anak ini masih berharap dapat memenuhi impian terakhirnya sebelum nafasnya terhenti.

“Sejak peristiwa malang itu, saya tidak lagi terjun sehinggalah ke hari ini. Tetapi saya berhajat untuk melakukan penerjunan buat kali terakhir dalam tempoh lima tahun lagi.

“Ini kerana dalam tempoh itu, saya bersedia menanggung akibat daripada penerjunan itu nanti yang mungkin menyebabkan saya lumpuh semula,’’ katanya yang pernah mendapat latihan asas komando daripada Rejimen Para Komando Angkatan Darat (RPKAD) di Dakota, Indonesia pada tahun 1971.

Semasa latihan di Indonesia, Ahmad juga pernah mengalami kemalangan apabila lengan kirinya terbelit dengan tali payung terjun.

Akibatnya, otot lengan kirinya cedera teruk menyebabkan ia berlekuk.

Cuma beliau bernasib baik kerana payungnya tetap terbuka elok dan dengan menggunakan sebelah tangan Ahmad akhirnya berjaya mendarat dengan selamat. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.