Maszlee Jadi Mangsa Percaturan – Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Perancangan pihak tertentu untuk memberi tempat kepada orang ‘paling berpengaruh’ dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipercayai menjadi punca Dr. Maszlee Malik meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, Maszlee menjadi mangsa walaupun prestasinya sepanjang 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan tidak dianggap terburuk.

“Mangsa percaturan. Sekurang-kurangnya Maszlee ada prinsip dalam perjuangan. Penggantinya, alahai.

“Kesian Maszlee. Dia jadi mangsa walaupun dia bukanlah yang terburuk tetapi tempatnya hendak diambil untuk seseorang yang diketahui kroni orang yang ‘paling berpengaruh’ dalam kerajaan PH.

“Orang ini terkenal dengan ‘playsafe’ dan pentingkan dirinya dulu dalam politik. Dialah orang kuat DSN (Datuk Seri Najib) dulu,” katanya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Semalam, Maszlee mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa hari ini.

Menurut Maszlee, beliau berbuat demikian selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – Sinar Harian

Loading...