Maszlee ‘Hangus Dibakar Netizen’ Di Komen Sendiri!

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek dikutuk oleh netizen gara-gara cuba mengaitkan isu janji pendidikan percuma yang gagal…

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek dikutuk oleh netizen gara-gara cuba mengaitkan isu janji pendidikan percuma yang gagal ditunaikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu malah menerima lebih 1,000 kecaman pada ruangan komen cuma dalam tempoh kira-kira satu jam selepas beliau memuat naik kenyataan jengkel tersebut di akaun Facebook peribadinya pagi ini.

Maszlee membayangkan kononnya janji pendidikan percuma tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan PH kerana wang rakyat telah ‘ditelan’ oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan keluarga Najib.

“RM42 bilion ditelan 1MDB boleh menampung kos pendidikan percuma berkualiti dari peringkat tadika hingga universiti ijazah pertama beserta makanan dan pengangkutan percuma kepada semua pelajar untuk empat tahun.

“RM2.6 bilion boleh selesaikan isu sekolah daif di Sabah dan Sarawak dan boleh selesaikan masalah bekalan elektrik di sekolah-sekolah pedalaman.

“Kalau kita tak guna duit rakyat untuk membeli BIJAN, beg tangan Hermes dan segala cincin berlian kepada isteri dan keluarga, pendidikan percuma hari ini boleh kita kecapi,” dakwanya.

Rata-rata netizen menyifatkan tindakan mengaitkan kegagalan kerajaan PH menunaikan janji pendidikan percuma dengan Najib dan isu beg tangan sebagai satu tindakan yang tidak profesional oleh seorang Menteri Pendidikan.

Maszlee turut dibidas kerana masih bermain persepsi politik selepas lebih lima bulan menjadi kerajaan sedangkan rakyat mahu melihat PH menunaikan janji yang ditabur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) termasuk janji memberi pendidikan percuma.

Berikut antara kecaman yang dilemparkan ribuan netizen keatas Maszlee sejak pagi tadi:

“Dr. Maszlee Malik…jangan kita membuat pembohongan lagi…sebab sekali bohong..kita perlukan berkali-kali pembohongan untuk menutup pembohongan kita…..hutang kerajaan bukan 1 trillion tapi hanya 6++ bilion seperti dalam laporan RMK11….so siapa bohong?” kata Baing Lagoo.

“Bila Menteri kasut meroyan, die akan bertukar menjadi Yoda..tapi ni Yoda yang bersenjatakan fitnah dan persepsi la kah3…” kata Al Gerunge.

Maszlee dipercayai memuatnaik status cuba memburuk-burukkan Najib kerana tidak berpuas hati dengan kritikan bekas Perdana Menteri itu keatas kenyataannya di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa pendidikan percuma tidak dilaksanakan kerana pendidikan di Malaysia sudah hampir percuma.

Najib semalam berkata, sebelum PRU14 pada 9 Mei lalu, pemimpin PH mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) zalim terhadap anak muda kerana pendidikan sepatutnya percuma.

Pemimpin PH malah mendakwa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepatutnya dihapuskan hingga menyebabkan ramai rakyat terpesona dan mengundi PH pada PRU14 untuk menumbangkan BN.

Bagaimanapun, selepas menang PRU14, Menteri Pendidikan baharu iaitu Maszlee memberitahu kerajaan PH tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir percuma.

“Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga? Apa bezanya? Pendidikan rendah dan menengah juga percuma sekarang kerana kerajaan BN yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012.

“Bak kata orang lencun terus, mereka yang sebelum ini berharapan apabila mendengar jawapan rasmi Menteri Pendidikan PH hari ini mengenai janji-janji dan hasutan PH dahulu,” sindir Najib. – MYNEWSHUB.TV