Maszlee, Benarkah Peluang Penuntut STPM Tak Terjejas?

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dituntut supaya memberi penjelasan bagaimana pertambahan penuntut program matrikulasi tidak menjejaskan peluang pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian di universiti awam.

Penjelasan ini tidak boleh ditangguhkan memandangkan pertambahan dalam pengambilan matrikulasi dilihat sebagai jalan penyelesaian sementara bagi isu ini yang tentunya membawa lebih banyak komplikasi dalam jangka masa panjang.

Jumlah kemasukan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia ke dalam program matrikulasi telah dinaikkan dari 25,000 kepada 40,000.

Pengerusi Jawatankuasa Perunding Pendidikan Belia Kebangsaan MCA, Ng Sing Phing mempersoalkan adakah Kementerian Pendidikan ada merancang untuk membina lebih banyak universiti awam.

Dan jika ya, adakah universiti-universiti baharu ini sudah bersedia untuk tahun depan bagi menampung kebanjiran pelajar agar peluang pemegang STPM tidak dirampas.

Atau, apakah rancangan kerajaan Pakatan untuk meningkatkan jumlah pengambilan universiti awam? Jika ya, adalah universiti awam bersedia dari segi tenaga manusia dan kemudahan yang ada. Sekiranya tidak, adakah kualiti dan piawaian universiti awam akan dikompromi.

Ng berkata, seandainya kenyataan Maszlee adalah benar – bahawa peluang pelajar STPM memasuki universiti tempatan tidak akan terjejas dengan apa-apa cara sekali pun – dengan tidak ada pertambahan universiti awam, adakah ini bermakna peluang 15,000 pelajar matrikulasi baharu akan dikorbankan.

Maszlee perlu memberi jawapan jujur memandangkan dasar pendidikan mempunyai kesan yang besar terhadap usaha negara dalam membangunkan sumber manusia.

Lagipun, katanya, semester baharu universiti akan bermula tidak lama lagi, sudah tentu kita tidak mahu membiarkan kedudukan pelajar-pelajar tergantung khususnya mereka yang berlatar belakang daripada keluarga miskin.

Loading...