Masjid Mercu Tanda Lapangan Terbang MAHB Di Turki

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SAW) di Istanbul, Turki milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan mempunyai sebuah masjid baharu hujung tahun ini.

MAHB dalam kenyataan berkata, masjid yang boleh mengisi 2,800 jemaah pada satu masa terletak berdekatan bangunan terminal dan disambung oleh jambatan dari aras ketibaan lapangan terbang tersebut.

SAW, anak syarikat MAHB mengadakan majlis pecah tanah masjid itu awal minggu ini bagi menandakan permulaan pembinaannya di kawasan binaan seluas 2,035 meter persegi.

Upacara dihadiri, antaranya, Pengerusi MAHB, Zainun Ali, pengurusan tinggi SAW dan Timbalan Gabenor Istanbul, Necip Cakmak.

“Pembinaan masjid ini satu peristiwa dalam usaha penciptaan nilai di SAW, bukan sahaja untuk kemudahan dan keselesaan kakitangan, bahkan penumpang,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif SAW, Ersel Goral berkata lapangan terbang itu berkembang sejak MAHB mengambil alih operasi 11 tahun lalu.

Bangunan terminal lapangan terbang yang dibuka pada 31 Oktober 2009 oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengendalikan lebih 200 juta penumpang setakat ini.

MAHB berkata, pembinaan masjid tersebut kena pada masanya memandangkan SAW dijangka menerima penumpang yang semakin ramai berikutan pembesaran dewan yang mempunyai keupayaan mengendalikan 41 juta penumpang setahun serta pembinaan landasan kedua.

Tahun lalu, SAW mencatat pergerakan 34.1 juta penumpang, 8.8% lebih ramai daripada 2017, meletakkannya sebagai lapangan terbang kedua terbesar di Turki dan ke-12 terbesar di Eropah dari segi bilangan. – FMT

Loading...