Masih Terngiang-Ngiang Jeritan Mangsa

PARIT BUNTAR – “Sebaik saja mengetahui tok (nenek) dan adiknya ada di dalam, saya terus menendang pintu dapur lalu masuk ke rumah. Saya terdengar jeritan tetapi gagal menemui sesiapa kerana api sedang marak, asap pula tebal dan bahangnya panas sangat.”

Nazri Musa, 24, menceritakan detik cemas kebakaran yang meragut nyawa dua nenek saudaranya, Aisah Din, 78, dan Ida Din, 56, di rumah mereka di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi, katanya, beliau yang tinggal berhampiran dan penduduk kampung berusaha membantu mangsa.

“Saya cuba pecahkan pintu utama, namun jeriji luar dan pintu dalam berkunci.

“Saya berlari ke bahagian dapur pula. Sebaik saja mendapati jeriji tidak berkunci, saya terus menendang pintu itu untuk cuba menyelamatkan mereka berdua,” katanya.

Malah, Nazri berkata, beliau turut naik ke tingkat atas rumah itu untuk mencari kedua-dua mangsa tetapi gagal menemui mereka.

Beliau terkilan tidak berjaya menyelamatkan mereka dan masih terngiang-ngiang jeritan salah seorang mangsa ketika kejadian.

“Insiden kebakaran ini amat memberikan kesan mendalam dan trauma kepada saya. Kira-kira 10 tahun lalu, rumah saya di sini rentung dan kali ini, kediaman tok (nenek) saudara pula menjadi mangsa sehingga meragut nyawa mereka berdua,” katanya hiba.

Seorang lagi ahli keluarga mangsa, Shahana Din, 45, mengaku dirinya yang tiba awal di lokasi masih terbayang-bayang dan trauma dengan kejadian itu.

“Saya hanya tinggal selang sebelah rumah dan sebaik saja mendapati rumah mak saudara terbakar, kami jiran berdekatan cuba membantu mereka tetapi tidak berdaya.

“Dalam keadaan panik itu, kedengaran jeritan meminta pertolongan dan ia masih jelas terngiang-ngiang di telinga saya.

“Saya yakin ketika itu, mangsa cuba menyelamatkan diri melalui pintu utama. Sudah pasti saya terkilan tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Shahana berkata, Aisah hanya mampu berjalan menggunakan tongkat, manakala Ida pula orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah ketumbuhan di bahagian kepala dan tidak berupaya melihat dengan jelas serta pergerakannya terbatas.

Beliau berkata, jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Parit Buntar, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Parit Lintang, petang ini.

Sementara itu, Pegawai Khas Parlimen Parit Buntar, Hamdan Fadeel Ahmad, berkata pihaknya bersimpati dengan kejadian berkenaan dan akan cuba mendapatkan bantuan bersesuaian untuk keluarga mangsa. – BH Online

Loading...