Masalah Penglihatan Bukan Halangan Duduki UPSR

KOTA BHARU – Mempunyai masalah penglihatan bukan halangan kepada Nik Fazrina Nik Mohd Fazli,12, untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti rakan pelajarnya yang normal.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu hadir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sireh di sini dengan penuh semangat bersama ayahnya seawal 7 pagi bagi menduduki peperiksaan berkenaan.

Menurut bapanya, Nik Fazli Che Omar, 46, anaknya itu seorang yang tekun belajar dan bercita-cita menjadi seorang pendidik, walaupun mempunyai masalah penglihatan sejak lima bulan kelahirannya.

“Sebagai ayah saya amat bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan Nik Fazrina. Berkat kesungguhannya dia mendapat keputusan 3A dalam ujian percubaan UPSR dan antara pelajar ‘sasaran’ UPSR sekolahnya,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Nik Fazli yang menetap di Kampung Pasir Pekan, berkata tiga orang lagi anaknya turut mengalami masalah penglihatan seperti Nik Fazrina menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan persekolahan.

Nik Fazrina antara tiga calon berkeperluan khas UPSR di SK Kampung Sireh hari ini selain Aidil Afendi Azuan Azman dan Wan Ibrisam Hakimi Wan Mohd Ghazali yang menduduki peperiksaan tersebut menggunakan medium Braile.

Seramai 47 calon berkeperluan khas menduduki UPSR di Kelantan tahun ini sementara 9 orang calon mengambil peperiksaan di hospital.

Di JOHOR BAHRU, Nurhani Sofea Nazaruddin, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Uda, Bandar Baru Uda, di sini, mengalami kerosakan pankreas sejak berusia tiga tahun dan perlu mendapatkan rawatan insulin empat kali sehari selain perlu menjaga jadual pemakanan hariannya.

Tidak seperti rakan lain, Nurhani Sofea memulakan peperiksaan dengan suntikan insulin sebelum mengambil sarapan dan melangkah masuk ke bilik peperiksaan.

“Saya tidak terlalu letakkan harapan tinggi kerana tidak mahu anak saya tertekan kerana saya takut bila dia tertekan, ia memberi pengaruh terhadap kesihatan anak saya,” kata ibunya, Noraini Ismail, 45, dan menambah suntikan insulin itu menjadi rutin anaknya sejak memulakan persekolahan.

“Penyakit yang dihidapinya hanya diketahui sewaktu dia kecil kerana dia kerap kali demam dan hasil pemeriksaan perubatan mendapati demam tersebut mengakibatkan kerosakan pankreas yang menyebabkan dia perlu suntikan insulin setiap kali mahu makan,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Kompleks Uda, hari ini.

Noraini yang juga guru matematik di sekolah tersebut, berkata anak kedua daripada empat beradik itu mendapat keputusan 4A 2B pada ujian percubaan UPSR lepas.

Seorang lagi calon UPSR, Nur Amalina Noordin, 12, merupakan Murid Berkeperluan Khas (MBK) dengan mengikuti kelas Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR), mengalami masalah disleksia dan memerlukan guru pembimbing untuk menjawab soalan peperiksaan selain diberikan masa yang lebih untuk menjawab soalan peperiksaan.

“Saya rasa takut tetapi saya sudah bersedia,” jawab Nur Amalina dengan ringkas apabila ditanya pemberita mengenai perasaannya menghadapi peperiksaan berkenaan.

Ibu Nur Amalina, Norazah A. Samad, 44, berkata anaknya dikesan mengalami disleksia pada umur tujuh tahun, namun, mempunyai semangat kuat untuk belajar.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Kompleks Uda, Fuziah Mohd Diah berkata PASR merupakan program pembelajaran yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun lepas yang menilai pelajar lebih kepada bidang kemahiran.

“Terdapat empat jenis kemahiran yang diajar kepada murid PASR iaitu pekebunan, jahitan, masakan dan penternakan selain mengajar mereka asas bahasa Inggeris. Kelas ini juga dijalankan serentak bersama-sama pembelajaran yang lain,” jelasnya. – BERNAMA

Loading...