Masa Sesuai, Situasi Menang-Menang Keluar BAM

KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran negara Chan Peng Soon berkata sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk beliau dan pasangannya, Goh Liu Ying meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi pemain profesional.

Peng Soon berkata beliau dan Liu Ying, yang meraih pingat perak beregu campuran Sukan Olimpik Rio 2016, itu menganggap keputusan berkenaan memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Salah satu faktor saya keluar BAM adalah umur dan tidak mempunyai faktor lain tetapi ini merupakan situasi menang-menang bagi saya dan BAM,” katanya kepada pemberita selepas sesi bertemu peminat pemain-pemain Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC) di Midvalley Megamall, di sini hari ini.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, fokusnya seterusnya adalah untuk mencari penaja untuk musim depan supaya dapat meneruskan penyertaan dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sekarang saya dan Liu Ying masih sedang mencari penaja dan jika kami dapat banyak penaja, kami akan menyertai lebih banyak kejohanan dan kumpul mata untuk membolehkan kami layak ke Tokyo 2020.

Buat masa ini kami dah dapat penaja peralatan dan Daikin yang selalu menyokong kami. Kami masih sedang mencari penaja yang lain,” katanya.

Antara kejohanan yang akan disertai beliau dan pasangannya pada Januari dan Februari tahun hadapan ialah kejohanan Masters Thailand bermula dari 8 hingga 13 Jan, Masters Malaysia (15 hingga 20 Jan) dan Masters Indonesia (22 hingga 27 Jan).

Sementara itu, juara remaja dunia sebanyak dua kali, Goh Jin Wei berkata buat masa ini beliau mahu menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap kelayakan Tokyo 2020 dan Sukan Asia Tenggara (SEA Games) Filipina tahun depan.

“Saya akan berikan fokus penuh untuk Sukan SEA walaupun saya akan menyertai lebih banyak kejohanan peringkat senior tahun depan. Bagaimanapun, kelayakan ke Sukan Olimpik tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Turut hadir pada sesi itu ialah pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun yang turut beraksi untuk pasukan AJBC pada saingan SS Purple League musim 2018/19. – BERNAMA

Loading...