Marzuki Nafi Malaysia Akan Tuntut Pulau Batu Puteh Di ICJ

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Luar, Marzuki Yahya berkata kenyataannya mengenai Pulau Batu Puteh di Parlimen semalam mengenai pelaksanaan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa, bukannya menuntut pulau itu.

Beliau berkata, kenyataannya adalah jelas untuk meneruskan perbincangan berkaitan pelaksanaan penghakiman ICJ berhubung kes kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Isu yang saya maklumkan adalah untuk kita teruskan pelaksanaan penghakiman ICJ menerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC).

“Kenyataan saya cukup jelas dan tidak ada kenyataan yang menyataan soal nak ‘claim’ balik Batu Puteh,” katanya.

Malaysia dan Singapura pada 2008 menubuhkan MSJTC bagi melaksanakan penghakiman ICJ berhubung kes kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Marzuki berkata, mesyuarat MSJTC ke-8 dijangka berlangsung Oktober ini dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

Tujuh mesyuarat MSJTC sebelum ini diadakan berkaitan proses perundingan pembatasan sempadan maritim antara Batu Puteh dan Batuan Tengah.

Loading...