Marquez Kena Penalti 6 Tempat, Zarco Bermula Dari Petak Utama

SEPANG – Walaupun mencatatkan masa terbaik, juara MotoGP dunia yang baru, Marc Marquez dari Pasukan Repsol Honda akan bermula dari…

SEPANG – Walaupun mencatatkan masa terbaik, juara MotoGP dunia yang baru, Marc Marquez dari Pasukan Repsol Honda akan bermula dari petak ketujuh akibat insiden yang berlaku sewaktu sesi kelayakan.

Marquez dikenakan penalti enam petak atas kesalahan beliau pada selekoh ke-9 di mana beliau didapati menunggang dengan cara yang tidak bertanggungjawab, dengan menunggang perlahan pada laluan perlumbaan sehingga mengganggu pelumba lain.

Pelumba Sepanyol itu yang memenangi gelaran juara dunia buat kali kelima ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan lagi di Jepun bulan lepas, menguasai Litar Antarabangsa Sepang dengan catatan masa dua minit dan 12.161 saat.

Dengan penalti yang dikenakan kepada Marquez, Johann Zarco dari Pasukan Monster Yamaha Tech 3 yang mencatatkan masa kedua terpantas telah diberikan petak utama, iaitu kedudukan di barisan hadapan buat kali kedua berturut-turut kepada pelumba dari Perancis itu.

“Saya sangat gembira, kami lalui sesi kelayakan yang menarik hari ini, menunggu lama di dalam tempat kami dan saya gembira dapat terus ke Q2 kerana dengan itu saya dapat menganalisa apa yang berlaku pada Q1,” kata Zarco.

“Sesi pertama di dalam keadaan litar basah dan saya tidak dapat menguasainya dengan dua set tayar lembut yang digunakan, tetapi sebaik sahaja kami menukarnya lagi, saya dapat mengawal motosikal dengan baik dan dapat mencatatkan masa yang baik.

“Marc bergerak terlalu pantas. Saya berfikir mungkin akan dapat petak utama, tetapi jurang antara saya dengan dia terlalu jauh dan saya boleh duduki petak kedua. Saya rasa itulah tempat terbaik untuk bermula esok,” katanya.

Bersama Zarco di barisan hadapan adalah juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi dari Movistar Yamaha MotoGP yang mencatat 2:13.009s.

“Dalam keadaan litar yang basah, saya rasakan keadaannya tidaklah teruk sangat, tetapi ia sesuatu yang sukar dikatakan. Semalam sewaktu litar kering, saya rasakan kelebihannya, hari ini saya menunggang dengan tayar terpakai dan walaupun saya bukan yang terpantas tetapi gerakan keseluruhan saya baik, jadi saya percaya saya boleh lakukan masa yang terbaik,” kata Rossi yang kali terakhir menang di Litar Antarabangsa Sepang pada tahun 2010.

Andrea Iannone dari Pasukan Ecstar Suzuki, yang mencatatkan masa pusingan terbaiknya 2:13.097, melengkapkan barisan hadapan dengan bermula dari petak ketiga. – BERNAMA