Maritim Tahan Kapal Nelayan China Di Perairan Pengerang

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal nelayan laut dalam yang berdaftar di Fuzhou, China, kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pengerang dekat Kota Tinggi, semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Sedili Kapten (M) Mohd Zulfadli Nayan berkata kapal terbabit ditahan pada kira-kira 5 petang oleh kapal peronda APMM ketika ia berlabuh di perairan kira-kira 3.5 batu nautika timur laut Tanjung Penyusup, Pengerang.

“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut gagal mengemukakan dokumen kebenaran memasuki perairan perikanan Malaysia, tiada kebenaran bersauh di samping dokumen-dokumen berkaitan kapal dan krunya juga tidak lengkap,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zulfadli berkata kapal bersama 10 kru warganegara China berusia antara 21 dan 53 tahun itu juga disyaki belayar dari China tanpa nakhoda.

Beliau berkata pemeriksaan juga mendapati tiada muatan ikan ditemui di atas kapal terbabit.

Katanya kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Tangkapan ini merupakan tangkapan keenam tahun ini bagi kes yang sama,” katanya sambil menyeru orang ramai supaya bekerjasama dengan pihaknya dengan menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan di talian 07-8916591 atau 999 yang beroperasi 24 jam. – BERNAMA

Loading...