Margot Robbie Pegang Watak Barbie Dalam Filem

NEW YORK – Aktres Australia, Margot Robbie akan memegang watak anak patung ikonik Mattel, Barbie dalam filem aksi hidup pertama, kata Mattel dan Warner Bros, semalam.

Barbie, yang akan menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini sudah dipaparkan dalam puluhan filem animasi, walaupun tiada satu pun ditayangkan di pawagam.

Filem itu, akan menjadi yang pertama daripada studio baharu pengeluar mainan berkenaan, Mattel Films dan dihasilkan secara bersama dengan syarikat produksi Robbie, LuckyChap Entertainment.

“Dalam tempoh hampir 60 tahun jenama itu, Barbie memperkasa kanak-kanak untuk membayangkan diri mereka dalam watak aspirasi daripada puteri raja sehinggalah presiden,” kata Robbie, menurut satu kenyataan.

Dilancarkan pada Mac 1959, watak Barbara Millicent Roberts berasal dari bandar fiksyen, Willow, Wisconsin.

Teman lelakinya, Ken, diperkenalkan Mattel pada 1961 dan saudara perempuannya, Skipper pada 1964. Syarikat itu mengeluarkan ratusan fesyen dan aksesori gaya hidup untuk jenama berkenaan.

eman lelaki Barbie, diperkenalkan Mattel pada 1961 dan saudara perempuannya, Skipper pada 1964. – Foto Agensi

Walaupun Mattel mengeluarkan pelbagai versi Barbie berbeza dengan warna mata, kulit, gaya rambut dan terbaharu jenis tubuh, watak anak patung dipegang aktres itu dalam filem menyamai gaya asal berambut perang serta mata biru.

“Saya amat berbangga memegang peranan ini dan menghasilkan filem yang saya percaya memiliki impak positif besar kepada kanak-kanak dan penonton seluruh dunia,” kata Robbie.

Robbie, 28, sudah membintangi filem termasuk ‘Suicide Squad’ pada 2016 dan ‘I, Tonya’ pada 2017, serta dicalonkan untuk aktres terbaik Anugerah Oscar.

Secara keseluruhan, lebih satu bilion anak patung Barbie dijual dalam tempoh 60 tahun sejak kali pertama diperkenalkan di New York. – Agensi

Loading...