Maqis Tahan Seekor Kucing British Short Hair

SEPANG – Seekor kucing baka British short hair tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam negara oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berikutan permit import yang mengelirukan.

Ketua Pintu Masuk Maqis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo, Mohamad Maelah berkata, pihaknya mendapati permit import salah satu daripada 12 ekor kucing yang diimport dari Rusia itu mengelirukan ketika pemeriksaan dibuat di Kompleks Kargo KLIA, Sepang, di sini pada 1 Ogos lalu.

Difahamkan, nombor mikrocip kucing betina itu tidak sama seperti yang dikemukakan dalam permit importnya.

“Pihak Maqis mengambil tindakan dengan menahan kucing tersebut untuk siasatan lanjut. 

“Kes akan disiasat di bawah Sekyesn 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengemukakan permit yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Maelah, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Sementara itu, dalam satu kes berasingan pada 29 Julai lalu, tiga anak pokok bonsai yang diimport dari Tanzania, Afrika tanpa permit import sah daripada Jabatan Maqis dilarang dibawa masuk.

Maqis berkata, perbuatan mengimport anak pokok bonsai tanpa permit import sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama. 

Katanya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Maqis berkata, pihaknya sentiasa memantau pintu masuk negara bagi memastikan haiwan peliharaan atau tumbuhan yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. – K! ONLINE

Loading...