Mapim Gesa Laksana Segera Sekolah Wawasan

ALOR SETAR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meminta Kementerian Pendidikan segera melaksanakan Sekolah Wawasan yang tertangguh sejak ia dicadangkan pada 1997.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ini kerana konsep sekolah berkenaan diyakini dapat memupuk integrasi antara pelajar pelbagai kaum.

Menurutnya, sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendirian tegas agar konsep Sekolah Wawasan dilaksanakan.

“Penolakan oleh badan seperti Dong Jiao Zong tidak harus dilayan kerana jelas bersikap perkauman dan cauvanis serta tidak membantu membangunkan Malaysia yang hidup bersatu antara kaum,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azmi berkata, pihak yang menolak idea Sekolah Wawasan dianggap menolak semangat dan falsafah Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan yang membina Malaysia secara unik.

“Kami gesa kerajaan segera merintis pelaksanaan Sekolah Wawasan bermula dengan satu model di setiap negeri tanpa bertangguh lagi.

“Biarpun ia bermula dengan menempatkan tiga jenis sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan SRJK Tamil di satu kawasan, ia perlu direncanakan agar interaksi pelajar benar-benar berlaku,” katanya.

Menurutnya, Sekolah Wawasan sepatutnya sudah lama dilaksanakan bukan menunggu di saat situasi kian meruncing.

“Dengan tren polarisasi antara kaum semakin konflik selain sangat mudah berlaku, model Sekolah Wawasan sepatutnya menjadi jawapan untuk membina bangsa Malaysia yang kukuh.

“Kami juga mahu ingatkan pihak yang berfikiran sempit dan cauvanis agar insaflah, Malaysia satu-satunya negara yang masih beri hak adil dalam membangunkan semua kaum.

“Institusi agama dan kemudahan untuk setiap kaum dibangunkan dalam kerangka kontrak sosial yang disepakati selama 63 tahun merdeka,” katanya.

Mohd Azmi berkata, tidak ada negara yang membenarkan sekolah tiga aliran dilaksanakan dalam satu sistem pendidikan kecuali Malaysia.

“Akta Pendidikan 1996 yang merupakan lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran 1961 bertujuan memantapkan sistem pendidikan kebangsaan sejajar dengan kehendak dan cita-cita Malaysia untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan bermutu tinggi dan bertaraf dunia,” katanya.

Menurutnya, akta itu memberi kuasa jelas untuk kerajaan melaksanakan konsep Sekolah Wawasan sebagai sekolah kebangsaan bersepadu dengan semua sekolah vernakular.

“Soalnya jika Sekolah Wawasan mampu zahirkan kualiti pendidikan yang maju dan cemerlang, apa masalahnya untuk pengurusan SRJKC dan SRJKT menolak konsep ini?

“Kerajaan harus gunakan kuasa dengan bijak agar sektor pendidikan menjadi bidang paling strategik untuk membina Malaysia yang bersatu dan kuat,” katanya.

Namun katanya, dalam isu genting seperti ini pun, jika kerajaan masih tidak tegas, polarisasi antara kaum akan terus meruncing dan dibimbangi ketegangan kaum tidak dapat dibendung kelak. – Sinar Harian

Loading...