Manifesto Pakatan Harapan Lebih Bersifat Retorik

TUMPAT – Manifesto Pakatan Harapan bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dilancarkan Khamis lepas, lebih banyak bersifat retorik, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Malah beliau berkata manifesto tersebut tiada apa-apa yang baharu kerana ia hampir sama dengan manifesto yang dikemukakan Pakatan Rakyat dahulu.

“Kita melihat sebahagiannya (manifesto) adalah mustahil untuk dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan PAS Kawasan Tumpat di Dewan Bunga Raya Pantai Seri Tujuh di sini, hari ini.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob yang juga Yang Dipertua PAS Tumpat.

Takiyuddin berkata Gagasan Sejahtera yang disertai PAS akan melancarkan manifesto mereka pada 18 Mac ini di Cyberjaya, Selangor oleh Abdul Hadi yang antara lain memaparkan kejayaan yang dicapai termasuk di Kelantan.

Ditanya mengenai kaji selidik Invoke Malaysia yang diumumkan pengasasnya Rafizi Ramli bahawa PAS tidak akan menang walaupun satu kerusi Parlimen malah bakal kehilangan Kelantan pada PRU14, Takiyuddin berkata banyak kajiannya meleset termasuk mengenai kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya cadang kepada Rafizi supaya menekankan kajian sama ada kerajaan negeri Selangor boleh kekal atau tidak kerana kita (PAS) dengan cabaran yang dihadapi, kita yakin PAS boleh pertahan Kelantan,” kata Takiyuddin yang juga anggota Parlimen Kota Bharu. – BERNAMA