Mangsa Zalim 9 Projek Rumah Selangorku Batal

IBARAT sendiri bangga umum, kemudian sendiri umum batal! Mungkin inilah lawak paling hebat kerajaan Selangor yang sering dabik dada konon ‘peduli rakyat’ tetapi hakikatnya adalah terbalik.

Lucunya alasan batal kerana syarikat pemaju gagal dapat permit kebenaran merancang dari pihak kerajaan negeri sendiri yang memang asalnya tidak pernah diluluskan namun projek itu sudah pun diumumkan untuk permohonan.

Padanya, rakyat marhaen sekali lagi terpaksa ‘berputih mata’ menjadi mangsa tindakan Kerajaan Selangor setelah sembilan projek pembinaan Rumah Se­langorku di enam kawasan majlis perbandaran dibatalkan pada Selasa lalu.

Bukan sahaja harapan mereka memiliki kediaman sendiri musnah tetapi lebih malang lagi, ada pemohon sudah buat pinjaman bank, namun kesudahannya bukan rumah diperoleh, sebaliknya beban hutang yang menghantui mereka.

Peliknya Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad menyatakan ko­nonnya tindakan pembatalan pro­jek disebabkan kegagalan pe­maju sendiri.

Persoalannya apakah sudah tiada alternatif lain untuk menyelamatkan keadaan walhal ia berlaku di sebuah negeri paling maju di Malaysia dengan rizab kerajaan Selangor konon memiliki simpanan dana berbilion-bilion ringgit.

Ironi pada hari sama, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Bukit Jalil di ibu negara berjaya siap 17 bulan lebih awal daripada jadual selain menjadi projek pertama seumpamanya tanpa kos oleh kerajaan pusat.

Pengerusi Gabungan NGO Se­langor, Nazilah Idris berkata, kenyataan Iskandar itu tidak le­bih sekadar alasan ‘tuding jari’ cari kesalahan pihak lain walhal yang menjadi mangsa adalah rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.

“Kesan daripada pembatalan ini pastinya melibatkan ribuan pemohon yang saya percaya ramai dalam kalangan mereka sudah membuat pinjaman bank tetapi akhirnya rumah tiada. Siapa yang hendak tanggung hutang ini?

“Mereka yang beli Rumah Selangorku ini pula bukan orang kaya. Tidakkah ini satu pengania­yaan? Kalau benar pemaju bermasalah kenapa tindakan tidak hanya diambil ke atas pemaju tanpa perlu membatalkan projek ini.

“Kenapa hanya ketika era zaman Pakatan Harapan isu sebegini timbul,” kata Nazilah dengan nada amat kesal sebagai mengulas peng­u­muman Iskandar berhubung sembilan projek Rumah Selangorku terpaksa dibatalkan.

Beliau hanya memberi alasan remeh iaitu pihak pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun daripada tarikh kelulusan yang diberikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Shah Alam.

Nazilah menambah, pemba­talan Rumah Selangorku dilihat sebagai kemuncak kepada pelbagai masalah skim itu yang telah beberapa kali didedahkan pihaknya sebelum ini tetapi berulang kali dinafikan Kerajaan PKR Selangor.

Ia melibatkan tiga projek di kawasan Majlis Perbandaran Kajang, dua lagi di Majlis Perbandaran Selayang serta masing-masing satu di Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Ampang Jaya dan Klang.

Pihak kerajaan negeri ujar Iskandar akan mengambil tindakan tegas ke atas pemaju terbabit yang didapati sengaja melewatkan pembinaan projek perumahan mampu milik tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...