Mangsa Banjir Di Kuantan Meningkat Sekali Ganda

KUANTAN – Mangsa banjir di daerah ini meningkat sekali ganda kepada 249 orang, setakat jam 7.30 pagi tadi, berbanding 114 semalam.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan KRT Taman Murni Sungai Isap, malam tadi, yang menempatkan 59 mangsa banjir daripada 14 keluarga.

PPS lain yang beroperasi ialah Balai Raya Kampung Tiram membabitkan 103 mangsa banjir daripada 32 keluarga, dan Dewan Orang Ramai Kampung Pandan 1 (73 mangsa, 25 keluarga).

Selain itu, Balai Raya Bukit Kuin 1 (lapan mangsa, dua keluarga) dan Dewan Orang Ramai Mat Kilau (enam mangsa, satu keluarga).

Hujan lebat berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air.

Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan lebat berterusan, hari ini, dengan cuaca di Kuantan mendung pada pagi ini.

Sementara itu, laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Belat, Sri Damai, di sini, berada pada paras amaran. – BERNAMA