Mampukah Syed Saddiq Terselamat Kali Ini?

KALI ini Syed Saddiq tidak boleh mengelak. Tidak boleh buat ‘bodo-bodo’ sikit apatah buat ‘bodo-bodo’ banyak.

Wakil rakyat Muar itu perlu menjawab jua. Bak kata orang Parit Jawa “you must explain the truth, the whole truth, nothing but the truth”.

Jika tidak ahli politik muda mesra DAP itu benar-benar sudah ‘checkmate’. Bak kata orang Bakri “you can run but you can’t hide”.

Syed Saddiq perlu membersihkan dirinya daripada tuduhan hipokrasi, wayang, plastik, kosmetik, pemburu populariti dan sama erti dengannya.

Ini sangat penting bagi mengelak orang Sarang Buaya hingga ke Sagil mula berfikir-fikir jujurkah Syed Saddiq dalam membantu penduduk Muar sejak hilang jawatan Menteri?

Pasti Syed Saddiq tidak mahukan persepsi begitu dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Muar yang dimenangi pada PRU-14.

Semalam Syed Saddiq cuba menjawab persepsi dia tidak berkata benar tentang seorang seorang warga emas yang menerima sumbangan makanan padanya.

Pakcik Rahmat atau Wak Suyak, 69, yang Syed Saddiq pernah gambarkan dalam Facebooknya hidup dalam penuh kedaifan di Kampung Parit Pali.

Sedangkan Ketua Kampung Sri Menanti 7, Abdul Malik Siman mendedahkan dakwaan yang dibuat tentang kedaifan hidup Wak Suyak dalam FB adalah palsu.

Wak Suyak sebenarnya telah pun dibantu mendapatkan sebuah rumah PPRT di kampungnya dan AJK kampung itu setiap hari menghantar makanan kepada warga emas tersebut.

Rumah buruk di Parit Pali adalah rumah lama Wak Suyak dan Wak Suyak pernah duduk sementara di rumah usang itu sebelum ini.

Malah Wak Suyak sendiri dalam satu rakaman video mengaku dakwaan tiada siapa pernah mengambil berat tentang dirinya adalah salah.

Bagaimanapun jawapan diberi Syed Saddiq mengenai isu itu agak hambar kecuali membidas pihak yang membangkitkannya dan diakhiri dengan soalan mengapa mahu menghalangnya berkhidmat?

Tidak pasti pun jika ada sesiapa yang mahu menghalang Syed Saddiq daripada terus memberi bungkusan makanan kepada penduduk Muar. Semua orang faham. Biasalah orang politik.

Cuma yang ingin diketahui tentang kebenaran cerita Syed Saddiq mengenai kesukaran hidup Wak Suyak dalam nada sedih pilu di Facebook beberapa hari lalu?

Jika tidak benar dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi yang lebih tidak baik seolah-olah dia cuba mengada-adakan cerita sedih untuk kepentingan tertentu.

Maka besarlah harapan rakyat Muar khususnya yang pernah mengundi Syed Saddiq agar Syed Saddiq membuktikan kesahihan ceritanya mengenai Wak Suyak hidup dalam penuh kedaifan.

Lagipun kita tidak mahu isu rumah Wak Suyak menyebabkan Syed Saddiq terus dibayangi janjinya untuk membina 1,000 rumah mampu milik di Muar jika menang PRU-14.

Dimanakah rumah-rumah mampu milik itu selepas beberapa tahun beliau menjadi wakil rakyat Muar juga masih menimbulkan tanda tanya.

Semoga ada jawapan konkrit kepada semua persoalan itu dan kita dapat kembali menikmati asam pedas Parit Jawa dengan tenang lagi gembira seusai pandemik Covid-19 berakhir. – Mynewshub.TV