Mamat Mohon Maaf, Akan Masuk Pusat Pemulihan

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan vokalis Exists Reunion, Mamat memohon maaf kepada peminat dan ahli kumpulannya berhubung penahanan atas kesalahan dadah pada Ahad malam lalu.

Atas kehendak mahu berubah, penyanyi berusia 41 tahun itu bersedia  untuk menerima rawatan di pusat pemulihan untuk mengawal masalah ketagihan yang dialami selama ini.

“Saya meminta maaf kepada semua peminat dan ahli keluarga muzik (Exists Reunion). Sebenarnya saya masih terkejut dan tidak menyangka apa yang berlaku.

“Sehingga kini, saya masih dalam siasatan polis. Penangkapan kali ini berbeza tidak seperti yang pernah terjadi kepada saya sebelum ini. Jadi, saya tidak boleh memberikan sebarang  kenyataan sebab bimbang akan  bercanggah dengan siasatan polis,” kata Mamat dalam satu sidang akhbar Konsert Exists Reunion di Alila Bangsar, di sini hari ini.

Menurut Mamat, kesedaran untuk bebas daripada dadah bergantung kepada individu itu sendiri. Sesiapa yang pernah terlibat dalam masalah ketagihan dadah semestinya ada perasaan untuk kembali normal.

Mengakui keinginan untuk berubah telah bermula sejak setahun yang lalu, kini penyanyi yang berasal dari Johor Bahru itu telah bersedia untuk menjalani rawatan pemulihan secara berdisiplin.

“Keluarga muzik saya ada menyuruh untuk mendapatkan rawatan di pusat pemulihan. Sebelum ini bukan saya tidak pernah berkeinginan untuk masuk ke sana tetapi saya tiada sokongan atau dorongan daripada sesiapa. 

“Sebelum ini saya hanya fikir ambil benda itu untuk seronok-seronok sahaja. Saya ada anak tetapi tinggal bersama ibu mereka. Jadi masa saya banyak dihabiskan bersama rakan-rakan dan terjebak dengan unsur negatif,” katanya lagi.

Setelah dibebaskan daripada tahanan reman pada Selasa, Mamat sah akan muncul dalam konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September ini. 

Terdahulu Mamat ditangkap polis pada Ahad (8 September) lalu semasa menunggang motosikal bersama seorang. Polis turut menemui syabu seberat 0.42 gram dalam dompet miliknya. – K! ONLINE