Malunya Tun M Diaib China Disaksi Dunia

DIHINA… Belum pernah berlaku dalam sejarah moden politik antarabangsa, seseorang pemimpin asing dimalukan secara terbuka oleh tuan rumah sambil disaksikan pihak media seluruh dunia!

Lebih aib, ia dapat liputan luas pelbagai agensi berita global apabila Perdana Menteri China, Li Keqiang tampak ‘hilang sabar’ dalam nada sinis menegur keras Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang akhbar di Beijing kelmarin.

Paling dahsyat, lawatan rasmi lima hari perdana menteri dengan usia tertua di dunia itu sejak 17 Ogos lalu, malah menerima ulasan negatif media di China termasuk akhbar utama berbahasa Inggeris milik pemerintah, China Daily.

Bukan itu sahaja, komentar disiarkan stesen penyiaran tempatan milik kerajaan China sendiri, CGTN yang liputan siarannya dapat disaksikan di seluruh dunia, ternyata berjaya mengaibkan imej dan aura reputasi hebat Mahathir.

Sambutan hambar Presiden China, Xi Jinping terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dengan raut masam Mahathir sudah jelas beri gambaran buruk mengenai masa depan suram hubungan diplomatik Putrajaya-Beijing.

Ia jauh berbeza dengan suasana mesra bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dirai ceria ketua negara China itu malah diberi sambutan hangat umat Islam ketika beliau hadir menunaikan solat di sebuah masjid di sana.

Tiada ‘buah tangan’ besar dibawa balik oleh Mahathir dari China, sebaliknya beliau menjadikan jalinan dua hala kepada ‘masam mencuka’ dan meletakkan Malaysia kelihatan bodoh selain dijadikan bahan jenaka antarabangsa.

Kuasa ekonomi terbesar di dunia itu yang kini ‘berperang dagangan’ dengan Amerika Syarikat (AS), khabarnya bakal bertindak ‘hukum’ Malaysia ekoran pelbagai kenyataan ‘bodoh’ dikeluarkan pemimpin kanan PH terhadap China.

Ini termasuk dakwaan tanpa bukti kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum tewas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu meminta rasuah sehingga 30 peratus untuk beberapa projek mega yang bernilai puluhan bilion ringgit.

Antaranya Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP). Mahathir yang nyata tiada bukti untuk sokong tuduhan jahat itu kemudian kata China bersetuju batal dua projek berkenaan.

Tidak hairanlah, ramai terkejut apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sepatutnya pergi ke China dua bulan lalu, tiba-tiba pula dilaporkan terpaksa diganti dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Spekulasi tular tersebar ‘cerita panas’ Kedutaan China di Kuala Lumpur dapat arahan Kementerian Luar di Beijing tidak keluar visa terhadap Setiausaha Agung DAP itu, dan sekali gus beri petanda negatif ke atas maruah Mahathir.

Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dipetik UMNO-Online, apa yang berlaku, Mahathir pergi ke China cuma berkaitan isu Proton-Geely walhal sudah dimeterai antara kerajaan BN dan China sebelum ini.

“Secara peribadi saya beranggapan politik konfrontasi yang dibawa oleh Mahathir dalam hubungan diplomatik hari ini adalah terbawa-bawa daripada agenda perjuangan sempitnya bagi menjatuhkan kerajaan BN sebelum PRU.”

Justeru ujarnya, permusuhan dibawa ekoran tohmahan PH konon BN ‘jual’ kedaulatan kepada China masih wujud, bahkan Mahathir tetap mahu bergaduh dengan Najib, waima beliau sudah menjadi Perdana Menteri yang ketujuh.

“Jika persekitaran politik Malaysia berubah dengan pengaruh anak muda, Mahathir perlu faham bahawa hubungan diplomatik antarabangsa juga telah berubah mengikut peredaran masa,” tegas Lokman. – Agensi/Mynewshub.TV

* Petikan sidang akhbar suasana tegang dengan Perdana Menteri China…

Loading...