‘Malu Apa BossKu’ Gamatkan Bilik Prosiding Najib

KUALA LUMPUR – Perkataan ‘Malu Apa BossKu’ ternyata memberikan impak apabila saksi ke-10 tidak semena-mena menyebut perkataan tersebut apabila diminta mengecam seandainya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ada dalam bilik perbicaraan sebentar tadi.

Bukan sahaja orang awam dan media, malah barisan pendakwa serta pembelaan juga turut tercuit rasa apabila Setiausaha UMNO Bahagian Johor Bharu, Abu Talib Alias diminta mengecam Najib dalam bilik mahkamah.

Dengan tidak di sangka-sangka, Abu Talib menyebut dengan penuh bersahaja, ‘Ya, Malu Apa BossKu’ tetapi kemudian memohon maaf kepada mahkamah.

Najib yang juga sedang duduk dalam kandang turut terikut ketawa untuk seketika.

Beliau sebelum itu disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaini.

Abu Talib semasa memberi keterangan memberitahu mahkamah, beliau pernah menerima cek bernilai RM300,000 atas nama UMNO Johor Bahru bagi urus tadbir parti selain kerja-kerja berkaitan dengan masyarakat setempat.

Wang tersebut dipercayai diberikan oleh Najib atas kapasiti sebagai Presiden UMNO pada masa itu. – MalaysiaGazette