Malaysia Tetap Guna Vaksin Keluaran AstraZeneca

PUTRAJAYA – Kerajaan membuat keputusan untuk terus menggunakan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca berikutan manfaat vaksin itu lebih menjurus kepada kebaikan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini yang dipengerusikan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pihaknya maklum dengan kesan dan faktor yang menyebabkan berlakunya pembekuan darah (thrombosis) selain kesan sampingan buruk daripada penggunaan vaksin berkenaan.

“Antara perkara yang dibincangkan tentu sekali ialah vaksin daripada UK (United Kingdom) iaitu AstraZeneca.

“Kita ambil maklum mengenai elemen yang dikemukakan iaitu (kesan sampingan buruk (adverse effect) dan faktor yang menyebabkan thrombosis.

“Kita sudah membuat perjanjian untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand dan kemudahan COVAX di Korea Selatan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Nota Kerajaan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai kes kesan sampingan yang dikaitkan dengan vaksin keluaran AstraZeneca termasuk insiden yang membabitkan kematian di beberapa negara.

UK dikatakan mengenal pasti 30 kes darah beku selepas pengambilan vaksin Covid-19 AstraZaneca.

Agensi Kawal Selia Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kejadian darah beku berpunca daripada pengambilan vaksin keluaran BioNTech dan Pfizer Inc.

Pihak berkuasa kesihatan berkata, mereka tetap percaya manfaat pengambilan vaksin dalam mencegah Covid-19 jauh lebih baik berbanding risiko kemungkinan berlaku kejadian darah beku. – myMetro Online