Malaysia Terus Jadi Destinasi Pelaburan Yang Disukai

KUALA LUMPUR – Komuniti perniagaan antarabangsa dan domestik terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang disukai berikutan kekuatan dan potensi negara ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. 

Walaupun pandemik COVID-19 sedang menular, banyak syarikat antarabangsa dan multinational telah mula mewujudkan program pembangunan vendor serta inisiatif pengurusan rantaian bekalan bersama-sama dengan syarikat dan pembekal tempatan. 

“Selama bertahun-tahun, pembekal tempatan telah menjadi pengeluar yang besar dalam hak liputan  mereka dan ada di antara mereka yang kini telah tersenarai dalam bursa saham kami, ini menyediakan peluang pekerjaan untuk bakat tempatan,” kata menteri itu dalam catatan beliau di LinkedIn semalam.

Antara projek yang diluluskan untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020 termasuk LEM (Switzerland), Dexcom, Ultra Clean (Amerika Syarikat), Keysight Technologies (Amerika Syarikat), Bosch (Jerman) serta Nippon Electric Glass (Malaysia) Sdn Bhd. 

Kedudukan Malaysia juga mendapat pengiktirafan daripada pelbagai firma penarafan dalam pelbagai metrik; bukti kepada perlaksanaan dasar Malaysia yang agak mantap.

Tengku Zafrul menyatakan bahawa menurut laporan oleh Bloomberg baru-baru ini, Malaysia adalah destinasi utama kelima di kalangan ekonomi baru muncul untuk pelaburan dan perniagaan, disokong oleh potensi pemulihan ekonomi yang pesat, kedudukan fiskal termasuk kewangan yang stabil serta keupayaan dalam menangani dan mengurangkan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, beliau menegaskan seperti banyak negara lain, Malaysia juga berhadapan dengan cabaran yang sukar, khususnya bagi membina semula ekonomi yang terjejas akibat COVID-19. 

Usaha kerajaan bermula dengan inisiatif yang diperkenalkan melalui pelan pemulihan ekonomi jangka pendek (PENJANA) yang diumumkan pada Jun 2020.

Di bawah Belanjawan 2021, banyak insentif ini sama ada telah diperluaskan atau dilanjutkan bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti perkhidmatan tambah nilai tinggi dan hab inovasi, teknologi canggih dan penyediaan industri masa depan.

Beliau menegaskan kementerian telah bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain bagi memastikan insentif-insentif ini disediakan kepada pelabur yang tulen. 

“Tetapi harus diingat dua perkara penting: Malaysia masih dalam krisis kesihatan dan setiap negara adalah unik daripada segi memikat pelaburan langsung asing. 

“Walaupun Malaysia masih berusaha tanpa henti untuk menangani COVID-19, pemulihan dalam kesihatan awam, ekonomi ataupun pelaburan, pasti akan mengambil masa,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kementerian telah menghubungi pelbagai agensi dan kumpulan perniagaan tempatan serta antarabangsa termasuk Dewan Perniagaan Malaysia Amerika, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia Perancis dan Dewan Perniagaan Malaysia British serta mengadakan perbincangan dengan pelbagai duta, pesuruhjaya dan menteri.

“Kami tidak berjaya bertemu dengan setiap satu (daripada mereka) tetapi kami sedang menuju ke arah itu. 

“Pegawai kementerian dan saya amat berharap dapat bertemu dengan semua dewan perniagaan dan pihak berkepentingan lain di Malaysia bagi melihat sejauh mana kami boleh bekerjasama, khususnya dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi berfokuskan pelaburan lain – untuk memudahkan lebih banyak pelaburan daripada rakan perdagangan kami pada 2021 dan seterusnya,” katanya lagi. – BERNAMA