Malaysia Sudah Ada Bombardier, Kenapa Zuraida Perlu Ke Itali?

KUALA LUMPUR – Malaysia melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah memiliki pesawat Bombardier CL415 yang telah digunakan untuk kerja-kerja memadam kebakaran.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mahu ke Itali bagi melihat keberkesanan aset tersebut.

“Setahu saya APMM ada aset seperti ini. Untuk operasi pemadaman api, APMM juga ada Bombardier, seingat saya jenis CL 415.

“APMM juga sering guna helikopter jenis Augusta Westland untuk penerbangan medevac. Helikopter Dauphin 365 pun kita ada.

“Jadi apa sebab Zuraida nak pergi ke Itali untuk tengok helikopter, tengok kapal terbang? Tengok kat Malaysia tak best?” Tanya bekas Perdana Menteri itu melalui hantaran di facebooknya.

Kata Najib, pesawat Bombardier APMM itu pernah digunakan untuk membantu Indonesia memadam kebakaran di Sumatera Selatan pada tahun 2015.

Malah, baru-baru ini katanya, aset itu digunakan untuk padam kebakaran di Kuala Baram, Sarawak.

Zuraida baru-baru ini menyatakan beliau akan ke Itali dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan jentera atau peralatan yang digunakan di negara itu dalam kerja pemadaman api.

Ini ekoran hasrat kerajaan yang bercadang membeli sebuah pesawat Bombardier dan helikopter Medevac bagi kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya Zuraida, Itali model negara terbaik dalam menangani isu kebakaran, jadi beliau akan ke sana untuk melihat demostrasi model yang digunakan. – UTUSAN ONLINE

Loading...