Malaysia Rekod 521,923 Dos Suntikan Vaksin Semalam

PUTRAJAYA – Kadar pemberian vaksin harian negara menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan rekod tertinggi semalam iaitu sebanyak 521,923 dos.

Sebelum ini, jumlah pemberian vaksin harian tertinggi adalah 507,050 dos yang dicatat pada 22 Julai.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi laman Twitter memaklumkan, daripada jumlah yang dicatat semalam, seramai 333,621 individu menerima dos pertama, manakala 188,302 mendapat dos kedua.

Setakat ini sebanyak 4,967,772 dos pertama diberikan di Lembah Klang, disusuli Sarawak dengan 1,668,577 dos, Johor (922,551), Perak (683,775), Sabah (672,199) dan Pulau Pinang (652,022).

JKJAV memaklumkan, bagi dos kedua, sebanyak 1,737,352 dos diberikan di Lembah Klang, Sarawak (1,171,172), Johor (402,777), Sabah (381,205) dan Perak (378,888).

Sehingga kini, 51.8 peratus populasi dewasa negara mendapat dos pertama atau 37.1 peratus populasi negara, manakala 24.4 peratus populasi dewasa menerima dos kedua (17.5 peratus populasi negara).

Sebanyak 90 peratus daripada populasi dewasa di Labuan juga sudah menerima dos pertama, manakala 76.8 peratus populasi dewasa sudah menerima dos kedua.

Ia disusuli Sarawak dengan 81.7 peratus populasi dewasa di negeri itu menerima dos pertama dan 57.3 peratus sudah menerima dos kedua, Lembah Klang (80.6 peratus dos pertama, 28.2 peratus dos kedua); Negeri Sembilan (65.6 peratus dos pertama, 25.5 peratus dos kedua) dan Perlis (55.9 peratus dos pertama, 38.3 peratus dos kedua).

Secara kumulatifnya, JKJAV berkata sebanyak 17,839,476 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat ini, yang meliputi 12,131,329 dos pertama dan 5,708,147 dos kedua. – BH Online