Malaysia Perlu Bersedia Penularan Covid-19 – WHO

SHAH ALAM – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada negara-negara rantau ini termasuk Malaysia supaya bersedia terhadap sebarang kemungkinan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) yang lebih meluas.

Pengarah WHO bagi Pasifik Barat, Dr. Takeshi Kasai berkata, virus itu ketika ini berada ‘di persimpangan yang kritikal’ kerana sudah terdapat kes positif Covid-19 yang langsung tiada hubungan dengan China.

Beliau berkata, walaupun virus tersebut dilihat lebih mudah merebak berbanding daripada data awal, namun ia tidak bermaksud virus berkenaan sudah merebak di Malaysia.

“Ketika negara-negara dunia berusaha mengawal virus ini, kita mesti bersedia sekiranya Covid-19 merebak dengan lebih luas. Tindakan ini harus bermula hari ini kerana persiapan memerlukan masa terutamanya bagi memastikan respons sampai kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Sekiranya wabak ini terus merebak, fokus utama adalah melindungi mereka yang mudah dijangkiti dan meminimumkan impak terhadap kesihatan dan sosial. Jika kita tidak bersedia sekarang, kita tidak akan mampu melaksanakan pelan ketika kita memerlukannya nanti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kata Dr. Takeshi, sekiranya berlaku wabak yang meluas, semua pihak perlu memastikan fasiliti kesihatan memfokuskan kepada merawat mereka yang terjejas dan kes yang parah.

“Ini mungkin bermaksud menggalakkan individu yang mempunyai simptom ringan untuk duduk di rumah berbanding mengasingkan atau mengkuarantinkan mereka.

“Dengan cara ini, fasiliti kesihatan tidak sesak. Langkah seterusnya adalah memastikan fasiliti kesihatan tidak menjadi tempat pembiakan virus ini, sekali gus boleh menjangkiti staf dan pesakit lain,” katanya.

Sementara itu, Dr. Takeshi turut mencadangkan pihak berwajib bersedia untuk menukar pendekatan dari menguji setiap kes yang disyaki kepada ujian terhad yang memantau daya merebak secara geografi dan trend.

“Secara tambahan, kita juga perlu bersedia untuk membuat keputusan sama ada menutup sekolah, menangguhkan himpunan awam bagi mengurangkan kebarangkalian virus ini merebak,” katanya.

Menurutnya, beliau memahami kenapa orang awam bimbang mengenai wabak ini kerana sehingga ke hari ini masih banyak yang belum diketahui mengenai Covid-19.

Loading...