Malaysia Masih Kaji CPTPP, Kata Tun M

TOKYO – Malaysia masih mengkaji implikasi dan potensi impak daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebelum memutuskan untuk meratifikasi perjanjian perdagangan bebas itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata Malaysia perlu mengkaji dengan teliti terma perjanjian mengenai CPTPP dan melihat bagaimana ia akan memberi kesan kepada usaha Malaysia untuk mengagihkan kekayaan di negara ini secara saksama.

Beliau berkata walaupun terdapat kemungkinan Malaysia akan meratifikasi CPTPP, negara akan meminta beberapa pengecualian.

“Kami akan mengkajinya…walaupun rundingan telah dimuktamadkan, ia belum diratifikasi,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, pada hari terakhir lawatan kerja beliau selama tiga hari ke Jepun.

CPTPP adalah perjanjian perdagangan yang dijenamakan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) selepas Amerika Syarikat menarik diri pada Januari 2017 di bawah Presiden Donald Trump, dan setakat ini, enam negara telah meratifikasi perjanjian itu.

Dr Mahathir berkata Malaysia berbeza dengan negara lain yang merupakan sebuah negara berbilang kaum.

“Pengagihan kekayaan antara kaum tidak saksama, ada yang kaya dan ada yang miskin. Perbezaan antara yang kaya dan miskin walaupun dalam satu negara etnik akan membawa kepada konfrontasi dan keganasan.

“Apa lagi jika yang miskin dalam satu kaum, yang kaya adalah kaum lain. Ia akan menyebabkan ketegangan, kemarahan, tidak puas hati dan perasaan yang tidak baik. Kami mahu mengelakkannya,” katanya. – BERNAMA

Loading...