Malaysia Masih Kekurangan Pakar Urologi

KUALA LUMPUR – Pelajar dan pengamal perubatan di negara ini disaran membuat pengkhususan dalam dalam bidang urologi bagi menangani masalah kekurangan pakar dalam bidang itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata pada masa ini hanya terdapat 114 pakar urologi dengan nisbah seorang bagi setiap 300,000 penduduk.

Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan pakar urologi negara kepada 1,000 orang katanya pada sidang media selepas melancarkan Persidangan Urologi Malaysia ke-27, di sini hari ini.

Katanya bagi mencapai sasaran itu, Lembaga Urologi Malaysia telah melancarkan kurikulum urologi komprehensif baharu untuk memenuhi keperluan pelatih-pelatih urologi.

“Susulan pertambahan bilangan pelatih dan pusat latihan di seluruh Malaysia, menjadi satu cabaran untuk mengekalkan jumlah tenaga pelatih yang konsisten,” katanya dan menambah kerajaan berhasrat memastikan satu pakar urologi untuk setiap 60,000 penduduk.

Dr Lee berkata juga terdapat keperluan untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan lelaki pertengahan umur serta warga emas yang enggan mendapatkan rawatan urologi pada peringkat awal.

“Lelaki perlu tampil apabila mengalami masalah seperti jangkitan saluran kencing, batu karang, darah dalam urin yang mungkin disebabkan buah pinggang atau kanser berkaitan urologi seperti prostat,” katanya.

Persidangan tiga hari bertemakan ‘Shades of Grey in Urology’ itu melibatkan 300 pengamal dan pelajar perubatan urologi bagi membincangkan tentang perkembangan terkini bidang itu serta dilema rawatan kontroversi dan praktikal yang dihadapi dalam bidang tersebut. – BERNAMA

Loading...