Malaysia Guna 5G Sepenuhnya Pada 2023

JAKARTA – Malaysia ketika ini sedang berusaha untuk menggunakan sepenuhnya teknologi 5G menjelang 2023.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, Malaysia percaya ia akan memudah cara usaha kerajaan untuk menambah baik kehidupan rakyat di samping menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

“Malaysia merupakan salah satu daripada beberapa negara di rantau ini yang mengalu-alukan kehadiran teknologi 5G.

“Tahun lepas kita telah menubuhkan satu pasukan petugas khas 5G.

“Pasukan tersebut telah pun menyerahkan laporan separuh penggal proses Malaysia ke arah mengguna pakai 5G,” katanya ketika berucap di Persidangan Serantau Diplomasi Digital (RCDD) di Jakarta hari ini.

Malaysia mengangkat teknologi digital sebagai faktor pemacu ke arah inovasi dan pertumbuhan dalam pelbagai sektor penting dan yang pastinya, ia turut merangkumi diplomasi, tegas Marzuki.

“Di dalam kita menghargai kebebasan yang hadir bersama digitalisasi ke dunia ini, kita juga harus kekal berjaga-jaga terhadap impaknya terhadap keselamatan rantau ini,” tambahnya.