Malaysia Gagal Ke Final Hoki Piala Sultan Azlan Shah

KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara terus ‘berputih mata’ untuk bergelar juara Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) buat kali pertama sejak ia mula dianjurkan pada 1983 selepas gagal melangkah ke pentas final edisi ke-28 tahun ini.

Walaupun masih berbaki satu perlawanan tetapi kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan pada aksi keempat di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak sebentar tadi melenyapkan harapan Malaysia ke pentas final.

Enam mata dipungut Malaysia selepas empat perlawanan sudah tidak dapat memintas dua pasukan teratas iaitu India dan Korea Selatan dengan berbaki satu perlawanan, Jumaat ini.

Dua gol Korea Selatan sebentar tadi diperoleh menerusi jaringan padang Lee Namyong dan pukulan sudut penalti Jang Jonghyun pada minit ke-31 serta 35.

Gol tunggal Malaysia dihasilkan menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim yang memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-46.

Malaysia perlu mengelak daripada tewas kepada Kanada pada aksi terakhir Jumaat ini untuk menjamin tempat beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat. – K! ONLINE

Loading...