Malaysia Dipandang Tinggi Oleh Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR – Malaysia dipandang tinggi oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai rakan dagang serta politik di rantau Asia Tenggara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, pengiktirafan negara dalam geopolitik dunia itu diakui ramai meskipun saiz Malaysia jauh lebih kecil berbanding AS.

“Insya-Allah, saya akan mengadakan lawatan kerja ke AS, esok hingga 13 September ini atas jemputan Presiden Donald Trump.

“Lawatan ini tepat pada masanya kerana kita baru saja menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia dan AS pada Julai lalu.

“Sepanjang enam dekad, hubungan kedua-dua buah negara juga berkembang dan semakin erat dari masa ke masa,” katanya menerusi catatan di blog rasminya, NajibRazak.com, hari ini.

Najib berkata, Malaysia sebelum ini pernah menerima kunjungan dua Presiden AS, iaitu Lyndon Johnson pada 1966 dan Barack Obama pada 2014 serta 2015, sekaligus membuktikan keakraban hubungan di antara kedua-dua negara.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia bakal menerima kelebihan visa selama 10 tahun bagi kemasukan tanpa had susulan Program Pengecualian Visa untuk rakyat Malaysia ke AS yang kini memasuki fasa peringkat akhir pelaksanaan.

“Hubungan Malaysia-AS sebenarnya terjalin lebih awal, secara rasminya hubungan diplomatik kedua-dua negara bermula sejak 1957.

“Sebagai contoh, getah daripada Malaysia memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri automotif AS, malah permintaan tinggi daripada mereka berupaya memacu pengeluaran komoditi ini di Malaysia.

“Pada 2014, hubungan Malaysia-AS dinaik taraf ke perkongsian komprehensif membabitkan bidang kerjasama utama seperti ekonomi dan perdagangan, pendidikan, pertahanan serta keselamatan, selain sains dan teknologi.

“Hari ini, AS adalah pelabur kedua terbesar Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif rundingan bilateral kedua-dua negara akan ditekankan menerusi lawatan kerja rasmi itu, selain menyasarkan pertumbuhan ekonomi lebih dinamik.

Beliau berkata, isu lain yang akan dibincangkan dengan Presiden Trump turut merangkumi isu antikeganasan di negara serantau dan perihal kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya di Myanmar.

“Insya-Allah, lawatan ini akan berjaya mencapai matlamat dan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dan AS,” katanya. – BH ONLINE