Malaysia Dilanda 181 Gempa Bumi

JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) merekodkan 181 kejadian gempa bumi berlaku di negara ini sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon berkata, kejadian itu yang kebanyakannya berlaku di Sabah menunjukkan pengurangan sebanyak 469 kes berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, pada 2018 sebanyak 650 kejadian gempa bumi direkodkan.

“Gempa bumi terkuat tahun lalu adalah pada skala Ritcher 4.0 di Tongod, Sabah, 24 Jun lalu manakala bagi 2018 adalah pada skala Ritcher 5.0 di Ranau, Sabah, 8 Mac.

“Bagaimanapun gempa bumi itu tidak dirasai kecuali bagi kawasan yang hampir dengan lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengenai banjir besar yang berlaku di Indonesia, Jailan berkata, ia kemungkinan tidak berlaku di Semenanjung Malaysia berikutan hujan kini dilihat tertumpu ke arah republik itu.

“Jika hujan sekalipun, mungkin hanya sementara dan tidak akan memberi kesan serius namun kita akan sentiasa memantau keadaan terkini cuaca termasuk mengeluarkan amaran sekiranya perlu,” katanya. – myMetro Online

Loading...