Terima 15 Helikopter Rusia Dalam 3 Tahun

SEPANG – Russian Helicopters yang berpangkalan di Moscow berharap dapat menjual sehingga 15 buah helikopter kepada Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan secara serentak, mahu meningkatkan penguasaan pasaran domestiknya kepada empat peratus berbanding dua peratus sekarang ini.

Ketua Pengarah Russian Helicopters, Andrew Boginsky berkata pihak berkuasa di Malaysia, beserta dengan lain-lain negara di Asia Tenggara telah menunjukkan minat yang mendalam dalam helikopter keluaran syarikatnya.

Beliau menjangkakan unjuran yang positif bagi helikopter keluaran firma itu di rantau ini, berkata Malaysia sentiasa menjadi rakan kongsi tradisional syarikat itu, khususnya dalam pasaran jentera serta kenderaan buatan Rusia.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas memperkenalkan dua helikopter model baharu Russian Helicopters iaitu Mi-171A2 dan Ansat di sini hari ini.

Ansat merupakan helikopter serba guna ringan dua enjin, yang diperakui mampu beroperasi dalam cuaca panas serta boleh digunakan untuk pengangkutan kargo, penumpang, tinjauan, operasi mencari dan menyelamat, melawan kebakaran, perubatan dan tugas-tugas pemindahan.

Mi-171A2 pula merupakan sebuah helikopter pelbagai guna sederhana yang cekap dan selamat, ia boleh beroperasi pada waktu malam dan siang, di kawasan tanah tinggi, bersuhu rendah serta tinggi, lembap dan di atas permukaan air.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai rancangan Russian Helicopters dalam pasaran domestik, berkata firma itu terbuka untuk bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan, terutamanya dalam bidang penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan dan keperluan pasaran.

Malaysia menjadi destinasi terakhir Russian Helicopters dalam siri demonstrasinya di Asia, yang bermula dari Zhuhai di China, diikuti Hanoi (Vietnam), Phnom Penh (Kemboja) dan Bangkok (Thailand).

Perdagangan antara Malaysia dan Rusia telah mencecah US$2.2 bilion sehingga pada Dis 2017, di mana 55 peratus urus niaga merangkumi produk berkaitan minyak dan gas, 20 peratus (baja) dan bakinya adalah barangan pengguna serta komponen elektronik.

Bagi tahun semasa, perdagangan antara kedua-dua negara menyaksikan peningkatan ketara melebihi 60 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama.

Dalam pasaran Asia Tenggara, syarikat itu mahu membekalkan antara 70 hingga 80 helikopter dalam masa tiga tahun, sebagai tambahan kepada 200 helikopter yang sedang beroperasi di rantau ini.

“Kami lihat penguasaan pasaran meningkat daripada dua peratus kepada antara lima dan tujuh peratus dalam tempoh lima hingga tujuh tahun. Permintaan untuk helikopter akan didorong oleh perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS) serta misi mencari dan menyelamat,” katanya.

Boginsky menambah permintaan untuk helikopter awam di Asia Tenggara dijangka akan mencecah 420 helikopter dalam tempoh 10 tahun akan datang, dan siri demonstrasi Russian Helicopters itu bertujuan bagi membuka peluang pasaran untuk firma tersebut. – BERNAMA

Loading...