Malaysia Dibebani Lonjakan Kluster Covid-19

KUALA LUMPUR – Gelombang Ketiga pandemik Covid-19 yang membadai Malaysia sejak 20 September 2020 semakin mengganas dengan rekod kes kumulatif menghampiri 200,000 ribu.

Dengan kes harian baharu diumumkan pada Khamis, 28 Januari sebanyak 4,094kes, jumlah keseluruhan kes dalam negara kini sebanyak 198,208 kes.

Malaysia kini menanggung beban 43,192 kes aktif dengan kebolehjangkitan. 

Setakat semalam, terdapat 372 kluster aktif termasuk sembilan kluster baharu.

Dua hari sebelum genap setahun koronavirus maut, Covid-19 membadai Malaysia pada 25 Januari 2020, negara mencatat kes harian baharu tertinggi iaitu 4,275 kes (23 Januari 2021)

Jumlah tertinggi ini direkod selepas catatan 4,029 kes pada 16 Januari dan 4,008 kes pada 20 Januari.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19, semalam, daripada 4,094 kes baharu, sebanyak 4,086 adalah kes penularan dalam negara dan lapan kes adalah kes import.

Daripada 4,086 kes itu, sebanyak 3,328 kes membabitkan warga negara (81.4 peratus)sementara 758 kes (18.6 peratus) membabitkan bukan warganegara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini membuat unjuran untuk tempoh 4 Januari-31 Mei 2021 iaitu kes harian antara 3,000 (minggu kedua Februari 2021), 5,000 kes sehari (minggu kedua April 2021) dan 8,000 sehari (minggu keempat Mei 2021).

Unjuran itu berdasarkan R naught (RO) 1.1. RO merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan wabak dalam masyarakat. 

Pada permulaan Gelombang ketiga (23 September 2020), Malaysia mencatat 147 kes baharu, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 10,505 kes. Jumlah kes aktif dengankebolehjangkitan Covid-19 adalah 770 kes. Malaysia mula mencatat kes harian baharu empat angka pada 24 Oktober 2020 iaitu 1,228 kes, menjadikan jumlah kes positif sebanyak 25,742 kes. Jumlah kes dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 8,966 kes.

Malaysia kini berada di tangga 55 (rangkuman mingguan 16 Januari – 22 Januari di tangga 58) dalam senarai 216 negara yang dilanda pandemik Covid-19, memintas Costa Rica (192,637 kes), Ireland (192,645 kes) dan Denmark (197,208 kes). Berada di hadapan Malaysia adalah Tunisia dengan 204,3521 kes.

China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga 83 dengan 89,378 kes, sementara negara jiran Singapura di tangga 93 dengan 59,425 kes.

Untuk rekod, kes baharu harian sepanjang rangkuman mingguan (23 Januari -28 Januari) adalah 4,275 kes (23 Januari), 3,346 kes (24 Januari), 3,048 kes (25 Januari), 3,585 kes (26 Januari), 3,680 kes (27 Januari) dan 4,094 kes (28 Januari).

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga Ogos 2021 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang kini meliputi seluruh negara kecuali Sarawak.

PKP2.0 dijadualkan berakhir pada 4 Februari depan.

Dr Noor Hisham pada 14 Januari lalu berkata, usaha melandaikan lengkungan jangkitan Covid-19 dijangka menunjukkan hasil menjelang Mei atau Jun 2021, dengan sasaran kes baharu berlegar antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

Beban kluster terus meningkat

Sehingga Khamis 28 Januari, KKM mengumumkan sebanyak 779 kluster termasuk sembilan kluster baharu. Sebanyak 407 kluster diisytihar tamat sementara 372 kluster masih aktif dan dipantau.

Daripada jumlah itu, sebanyak 89 kluster mencatat pertambahan kes dan kluster dengan pertambahan tertinggi adalah Kluster Hentian (88 kes), Kluster Pasai (73 kes), Kluster Jalan Faizal (45 kes) dan Kluster Jalan Playar (45 kes).

Untuk rekod, jumlah kluster baharu sepanjang 23 Januari – 28 Januari ialah 11 kluster (23 Januari), sembilan kluster (24 Januari), 13 kluster (25 Januari), tujuh kluster (26 Januari), 17 kluster (27 Januari) dan sembilan kluster (28 Januari).

Kluster Tempat Kerja (KTK) masih membelenggu negara pada setiap hari laporan perkembangan kes Covid-19 di negara ini, berikutan saringan yang dijalankan ke atas pekerja asing khususnya warga asing di kilang dan tapak binaan, yang bermula sejak 1 Disember 2020.

Secara perinciannya, daripada 11 kluster yang dilaporkan pada 23 Januari, lapan adalah KTK; pada 24 Januari, lapan daripada sembilan kluster baharu adalah KTK; pada 25 Januari, lapan daripada 13 kluster baharu adalah KTK; pada 26 Januari, tiga daripada tujuh kluster baharu adalah KTK; pada 27 Januari, 15 daripada 17 kluster baharu adalah KTK dan pada 28 Januari, lima daripada sembilan kluster baharu adalah KTK.

Sementara KKM dalam laporan berasingan menyebut, terdapat 30 kluster rentas negeri bermula 7 Disember 2020 hingga 27 Januari 2021 yang membabitkan 3,231 kes positif. Kelantan merekodkan kluster rentas negeri tertinggi dengan lapan kluster, Pahang (tujuh) dan Terengganu (lima).

Antara KTK yang melaporkan kes positif yang banyak semasa ujian saringan dijalankan adalah Kluster Tapak Bina Bali Residence pada 23 Januari, membabitkan daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka (204 kes) ; Kluster Jalan Sebelas pada 24 Januari, di daerah Hulu Langat di Selangor membabitkan pekerja kilang (83 kes) ; Kluster Parit Lanjut pada 27 Januari, membabitkan daerah Muar, Johor iaitu saringan bersasar pekerja kilang (547 kes positif daripada 1,451 yang disaring) dan Kluster Industri Grisek di Tangkak dan Muar, Johor, membabitkan saringan bersasar pekerja kilang (145 kes posiitf daripada 537 individu yang disaring).

Sementara kluster yang membabitkan pusat tahanan, Kluster Tembok Bukit Besi, di daerah Dungun, Terengganu mengesan 99 kes positif daripada 1,131 individu yang disaring sehingga 26 Januari.

Perincian kes Covid-19 di Malaysia

Menurut laporan KKM untuk perincian 4,094 kes positif Covid-19 pada Khamis 28 JanuariSelangor kembali di tangga teratas dengan 1,577 kes. Daripada jumlah itu, 264 daripada kluster sedia ada termasuk 12 daripada Kluster Jalan Pakat (Kluster Komuniti) dan 998 kes daripada saringan kontak rapak kes positif Covid-19, tiga kes import dan 312 kes daripada saringan lain Covid-19. Bilangan kes kumulatif di Selangor sebanyak 59,063 kes.

Johor yang pada Rabu 27 Januari menduduki tangga teratas (1,069 kes), semalam merekod 717 kes dan 170 daripadanya dari kluster sedia termasuk 99 kes daripada kluster baharu – Kluster Jalan Faizal, Kluster Jalan Satria, dan Kluster Jalan Dewani Satu. Ketiga-tiga kluster adalah Kluster Tempat Kerja (KTK).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan 57 kes daripada kluster sedia ada, 256 kes daripada saringan kontak rapat, empat kes import dan 361 kes daripada saringan lain Covid-19.

Sabah 282 kes; Sarawak 171 kes termasuk satu kluster baharu, Kluster Indah Riang (Kluster Komuniti) dan satu kes import; Pulau Pinang 99 kes; Perak 94 kes, Kedah 92 kes; Terengganu 80 kes; Melaka 73 kes dan satu kluster baharu, Kluster Jalan Kejora (Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi).

Pahang 72 kes dan dua kluster baharu, Kluster Industri Peramu Jaya (KTK) dan Kluster Kampung Kemansur (Kluster Komuniti); Wilayah Persekutuan Labuan 55 kes dan satu kluster baharu, Kluster Taman Mahkota Impian (KTK); Negeri Sembilan 48 kes; Kelantan 37 kes; Wilayah Persekutuan Putrajaya 10 kes sementara Perlis sembilan kes.

Sementara itu, KKM melaporkan sehingga Khamis 28 Januari 2021, sebanyak 3,281kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 154,299 kes.

Kes sembuh sepanjang 23 Januari – 28 Januari adalah 4,313 kes (23 Januari), 4,427 kes (24 Januari), 3,638 kes (25 Januari), 4,076 (26 Januari), 1,858 kes (27 Januari) dan 3,281 kes (28 Januari). 

Sementara itu, seramai 303 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dan 118 kes daripadanya, memerlukan bantuan pernafasan.

Pada Rabu 27 Januari, seramai 314 orang diumumkan dirawat diUnit Rawatan Rapi, jumlah tertinggi setakat ini dan 122 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 10 kes kematian dilaporkan semalam (28 Januari) iaitu tiga kes, masing-masing di Selangor dan Sabah; dua kes di WP Kuala Lumpur dan satu kes, masing-masing di Kedah dan Sarawak. Jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 717 kes.

Kes kematian di WP Kuala Lumpur iaitu kes 716 adalah pesakit lelaki warganegara berusia 22 tahun dan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras. Tiada sebarang catatan latar belakang perubatan dinyatakan. Satu lagi kes kematian, iaitu kes 717 dilaporkan di Selangor, seorang lelaki bukan warganegara berusia 32 tahun, juga tiada catatan latar belakang perubatan.

Namun kebanyakan kes pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai komplikasi kesihatan, sebahagian besarnya penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis dan jantung.

Kes kematian sepanjang tempoh rangkuman adalah tujuh kes (23 Januari), 11 kes (24 Januari), 11 kes (25 Januari), 11 kes (26 Januari), tujuh kes (27 Januari) dan 10 kes (28 Januari).

Statistik global Covid-19

Angka keseluruhan kes global Covid-19 sudah mencapai 100 juta pada Rabu 27 Januari 2021. Angka ini membabitkan anggaran hampir 1.3 peratus penduduk dunia. Negara paling teruk dilanda pandemik ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Russia dan United Kingdom.

Setakat rangkuman mingguan (23 Januari – 29 Januari), kes Covid-19 global sebanyak 102,036,438 kes ( minggu lalu 98,180,233 kes ) dengan 2,200,957 kematian ( minggu lalu 2,102,588 kematian). Jumlah pesakit sembuh 73,869,221 (minggu lalu 70,584,013 ). 

Terdapat 216 negara dilanda pandemik Covid-19 dan 10 negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Rusia, United Kingdom, Perancis, Sepanyol, Itali, Turki dan Jerman.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 26,338,607 kes (443,769 kematian), India 10,720,971 kes (154,047 kematian), Brazil 9,060,786 kes (221,676 kematian), Rusia 3,793,810 kes (71,651 kematian), United Kingdom 3,743,734 kes (103,126 kematian), Perancis 3,130,629 kes (74,800 kematian), Sepanyol 2,792,360 kes (57,806 kematian), Itali 2,515,507 kes (87,381 kematian), Turki 2,457,118 kes (25,605 kematian) dan Jerman 2,194,562 kes (56,220 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 83 dengan 89,378 kes (rangkuman minggu lalu 88,804 kes)dan angka kematian 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina turut menyertai senarai 81 negara yang mencatat lebih 100 ribu kes Covid-19. Kenya negara terkinimenyertai senarai ini dengan 100,422 kes.

Kes Covid-19 di Indonesia melepasi angka sejuta dengan catatan 1,037,993 kes (rangkuman minggu lalu 965,285 kes)dengan 29,331 kematian (minggu lalu 27,453 kematian), di tangga 19. Filipina di tangga 32 dengan 519,575 kes (minggu lalu 509,887 kes) dengan 10,552 kematian.

Myanmar minggu ini melaporkan 139,152 kes (minggu lalu 136,166 kes) dengan 3,103 kematian di tangga 71 sementara Singapura melaporkan sebanyak 59,425 kes (minggu lalu 59,250 kes) dan angka kematian kekal 29.

Thailand mencatat 16,221 kes (di tangga 120) berbanding 13,104 kes pada rangkuman minggu lalu dengan 76 kematian; Vietnam mencatat 1,651 kes (minggu lalu1,546 kes) dan angka kematian kekal35; Kampuchea mencatat 461 kes (minggu lalu 456 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara kes COVID-19 di Laos meningkat kepada 44kes dan sifar kematian. – BERNAMA